AM

Dua Wakil UiTM Sarawak Cipta Sejarah Rangkul Hadiah Utama ASM ArtScience 2025

25/11/2025 09:16 AM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Pensyarah Kanan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Sarawak muncul pemenang utama ASM ArtScience™ Prize 2025 anjuran Akademi Sains Malaysia (ASM).

Mohd Razif Mohd Rathi dan Dr Muhammad Fauzan Abu Bakar daripada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka turut memenangi Anugerah Pilihan Ramai bagi karya mereka The Unforgettable Tales, sekali gus membawa pulang hadiah wang RM20,000 dan RM5,000 berserta trofi dan sijil.

Dr Lee Kin Keong, Dr Liong Mei Yin dan Dr Cheng Kin Meng daripada Universiti Tunku Abdul Rahman pula dipilih penerima Anugerah Bintang Baharu menerusi karya mereka Woven Emotions, membawa pulang wang tunai RM10,000, trofi berserta sijil.

Karya Spectra of Thirst to Sustain the Unseen: AI and the Whisper of Reflectance and Resilience oleh Prof Madya Dr Safrizal Shahir, Prof Madya Dr Ahmad Fairuz Omar dan Norshahidan Mohamad dari Universiti Sains Malaysia, tersenarai sebagai penerima hadiah sagu hati yang membawa pulang masing-masing hadiah wang RM2,500 dan sijil

Turut menerima penghargaan sama ialah Dr Chong Yee Won daripada NeuroActive Hub menerusi karyanya Brainwave Mediated Dance: Voicing the Neurodivergent Through Art and Science by Dr Chong Yee Won dan karya bertajuk Luópán hasil sentuhan artis, arkitek dan pereka Sino-Malaysia Chong Yan Chuah.

Bertemakan “Transformasi Seni: Gabungan AI dan Kelestarian”, ASM ArtScience™ Prize 2025 menyaksikan 107 penyertaan, dengan lima karya dipilih sebagi finalis.

Sementara itu, Muhammad Fauzan berkata hasil karya mereka membawa mesej tentang pencemaran plastik dari perspektif berbeza, dengan menggambarkan kehidupan marin yang terjejas dalam persekitaran distopia menggunakan gabungan seni, reka bentuk dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata AI digunakan sebagai alat inovasi, tetapi mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada teknologi berkenaan.

“Kita kena kenal pasti di bahagian mana yang kita bergantung pada AI dan dekat mana kita perlukan sentuhan manusia. Jadi kita tak bergantung 100 peratus pada AI,” katanya kepada Bernama di sini malam tadi.

Menurut Lee pula, karya seni mereka bertujuan merakam emosi rakyat Malaysia dan mencipta gambaran mengenai kesejahteraan negara.

“Visual yang dihasilkan pada asasnya menggambarkan perasaan rakyat Malaysia sepanjang 2024, dan ia tidak seperti yang kita sangka. Apa yang kami cuba lakukan ialah sesuatu yang lebih lestari dan modular, iaitu visual ini boleh digabung dan digunakan dalam konteks lain, menunjukkan cabaran mahupun detik penuh harapan,” katanya.

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata ASM ArtScience™ berperanan sebagai platform penting untuk melahirkan rakyat Malaysia yang mampu berfikir dan bertindak secara transdisplin serta menterjemahkan idea kepada ekspresi dan penyelesaian kreatif melalui gabungan pendekatan seni dan sains.

Beliau berkata inisiatif berkenaan juga menyediakan platform kepada generasi muda Malaysia untuk meneroka kreativiti dan pemikiran saintifik melalui bengkel praktikal, bimbingan dan projek kolaboratif sekali gus membantu mereka membangunkan kemahiran inovasi dengan bijak serta menangani cabaran dunia sebenar.

“Selain membangunkan bakat individu, MOSTI melihat ASM ArtScience™ sebagai platform yang mengukuhkan kerjasama merentas sektor. Dengan menghubungkan inovator muda dengan mentor, rakan sebaya dan rakan industri, inisiatif ini membina rangkaian yang mempercepat perjalanan idea daripada konsep ke pelaksanaan, sekali gus menjana nilai sosial dan ekonomi,” katanya.

Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata teknologi berasaskan AI memacu revolusi pengetahuan seterusnya, mendorong industri kreatif untuk berubah dan berinovasi pada tahap lebih tinggi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa teknologi berkenaan turut mempunyai risiko tersendiri kerana sistem AI boleh bertindak secara tidak dijangka, menyalin corak berbahaya atau disalahgunakan hingga menimbulkan cabaran dari segi etika.

“Jika kita tidak berhati-hati, alat yang memperkasakan kreativiti ini juga berpotensi menjejaskan kepercayaan, maruah dan keaslian ekspresi seni,” katanya.

Karya finalis telah dipamerkan di Pusat Sains Negara pada 17 hingga 24 Nov.

ASM memperkenalkan ASM ArtScience™ pada 2019 yang bertujuan memupuk kreativiti melalui integrasi seni dan sains, sekali gus mengangkat peranan seni dalam memperkukuh budaya sains di Malaysia.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494847