SUKAN

Hoki Piala Sultan Azlan Shah: Tundukan Kanada, Sarjit Enggan Selesa 

25/11/2025 12:52 PM

IPOH, 25 Nov (Bernama) -- Walaupun berjaya meraih tiga mata penuh, ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara Sarjit Singh masih belum berpuas hati dengan mutu permainan dipamerkan pasukannya ketika menewaskan Kanada 3-2 dalam saingan Piala Sultan Azlan Shah, di sini, semalam.

Beliau menegaskan pasukannya gagal memanfaatkan beberapa peluang terhidang, selain terlalu kerap membuka ruang sehingga membolehkan lawan memperoleh banyak pukulan sudut penalti dalam perlawanan berkenaan.

“Kita kerap kehilangan bola dan beberapa peluang yang sepatutnya menghasilkan jaringan gagal disempurnakan. Itu yang agak mengecewakan. Malaysia juga bernasib baik kerana Kanada gagal menyempurnakan banyak pukulan sudut penalti yang saya fikir mampu mengubah keputusan malam ini,” katanya.

Tiga gol kemenangan Speedy Tigers disumbangkan oleh Akhimullah Anuar (minit ke-4), Abu Kamal Azrai (minit ke-19) dan Faizal Saari (minit ke-24), manakala Kanada menjaringkan dua gol melalui Sean Davis (minit ke-12) dan Matthew Sarmento (minit ke-16).

Sarjit menambah, semua pasukan yang bertanding tidak boleh dipandang mudah kerana masing-masing mempunyai kekuatan tersendiri.

“Contohnya, Kanada yang berada di kedudukan ke-20 dunia berjaya mengikat Belgium (kedudukan ketiga dunia). Itu bukan sesuatu yang mudah dan menunjukkan kekuatan mereka,” katanya.

Ketua jurulatih Kanada, Patrick Tshutshani, pula berkata biarpun kecewa dengan kekalahan, pemainnya tetap menunjukkan aksi membanggakan dalam menyaingi Speedy Tigers.

“Saya rasa kami cukup cekap dan berkesan apabila menguasai bola dan menyerang. Malangnya, usaha kami masih belum mencukupi untuk menang. Tetapi para pemain menunjukkan ketabahan dan semangat juang, terutama pada suku ketiga dan keempat, di mana kami mula memberikan tekanan yang lebih kuat kepada lawan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2494947