JENAYAH & MAHKAMAH

Enggan Berpindah: Polis Tidak Berkompromi Demi Keselamatan Mangsa

25/11/2025 03:26 PM

KOTA BHARU, 25 Nov (Bernama) -- Polis menegaskan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana mangsa banjir yang enggan berpindah meskipun kediaman mereka sudah dinaiki air sehingga menjejaskan keselamatan.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata tindakan tegas itu penting bagi mengelakkan kejadian tidak diingini, termasuk risiko mangsa terperangkap ketika paras air meningkat secara mendadak.

“Jika ada mangsa yang enggan berpindah, polis akan mengarahkan mereka keluar dan tidak kekal berada di rumah atas alasan bimbang kecurian.

“Polis akan melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan yang ditinggalkan bagi memastikan tiada mangsa masih berada di rumah serta mengelakkan pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata tindakan menangguhkan perpindahan hanya akan menyukarkan operasi menyelamat, terutama pada waktu malam dan ketika paras air meningkat dengan cepat.

Menurutnya, situasi banjir di Kelantan ketika ini masih terkawal dengan pemindahan melibatkan penduduk di kawasan rendah yang terjejas akibat hujan lebat termasuk di Bachok, Tumpat, Pasir Puteh dan Kota Bharu.

“Sehingga kini seramai 9,772 mangsa daripada 3,585 keluarga ditempatkan di 40 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh negeri,” katanya.

Beliau turut menasihati mereka yang berpindah ke PPS supaya membawa barangan berharga dan dokumen penting bagi mengelakkan kerugian.

“Setakat ini tiada kes kecurian dilaporkan di rumah yang ditinggalkan mangsa. Kebiasaannya laporan dibuat selepas banjir surut membabitkan kemusnahan harta benda,” katanya.

Selain itu katanya polis juga mempertingkatkan pemantauan di kawasan sempadan bagi mengekang aktiviti penyeludupan ketika musim banjir.

“Sekiranya air semakin besar, ada kemungkinan penyeludup mengambil kesempatan menggunakan bot atau perahu ke kawasan tertentu. Polis akan menyesuaikan strategi operasi bagi mencegah perkara itu,” katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495044