KOTA KINABALU, 25 Nov (Bernama) -- Manifesto Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 bukan sekadar tawaran tetapi tekad untuk meneruskan momentum pencapaian yang telah digarap dalam lima tahun sebelumnya.
Timbalan Setiausaha Agung GRS Datuk Armizan Mohd Ali berkata manifesto parti yang dibentangkan pada 17 Nov lepas digubal bersandarkan kepada asas yang dibina dan dirintis dalam tempoh Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0 iaitu dari 2021 hingga 2025.
“Berbeza dengan tawaran parti-parti lain, kami tidak menjanjikan bulan dan bintang yang tidak mampu dicapai oleh tangan,” katanya kepada Bernama.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata manifesto GRS turut mengambil kira keupayaan dan kapasiti kerajaan untuk melaksanakan strategi, dasar dan program yang digariskan, khususnya berkaitan dengan kemampuan kewangan kerajaan negeri.
Beliau berkata adalah tidak wajar untuk membentangkan janji dan tawaran yang sedap didengar tetapi hakikatnya tidak boleh dilihat, dirasai, dilaksanakan dan diukur pencapaiannya dalam tempoh lima tahun penggal sesebuah pentadbiran.
“Manifesto adalah aku janji dan tekad pertanggungjawaban, bukannya sekadar gula-gula meraih undi pilihan raya. Kalau sikap masih sama dengan sekadar janji bulan dan bintang, rakyat Sabah akan terus dikecewakan dan keyakinan mereka kepada institusi kerajaan dan demokrasi semakin terhakis,” jelasnya.
Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor yang juga Ketua Menteri pada 17 Nov lepas melancarkan manifesto parti itu dipacu menerusi empat rukun utama iaitu Sabah Diutamakan, Sabah Maju ke Hadapan, Sabah Maju Jaya dan Sabah Bersatu.
Empat rukun berkenaan diterjemahkan melalui 16 strategi yang merangkumi pelbagai agenda pembangunan merentasi sektor ekonomi, infrastruktur, keselamatan, pendidikan, pembangunan modal insan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat, termasuk tuntutan hak-hak Sabah seperti termaktub dalam Perlembagaan.
Pengundian PRN Sabah ditetapkan pada 29 Nov ini manakala undi awal berlangsung hari ini.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php
-- BERNAMA