IPOH, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 22,700 unit produk kacang pelbagai jenama bernilai RM31,720 yang menggunakan logo halal tanpa kebenaran, di sebuah kilang memproses dan membungkus makanan ringan di Kawasan Perindustrian Tupai, Taiping, semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada 11.45 pagi itu dilakukan oleh sepasukan penguat kuasa KPDN Cawangan Taiping selepas menerima maklumat daripada orang awam.
Beliau berkata kilang terbabit didapati menghasilkan produk kacang tanah dan makanan ringan untuk pasaran di seluruh Semenanjung Malaysia, khususnya di Perak.
“Pemeriksaan lanjut ke atas produk akhir mendapati terdapat logo halal pada bungkusan produk kacang itu, selain pemilik perniagaan telah gagal mengemukakan Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah.
“Kegagalan menunjukkan sijil halal sah membawa kepada tindakan di bawah Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 kerana disyaki menggunakan logo halal tanpa kebenaran pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kamalludin berkata kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 bagi kesalahan menggunakan logo halal tanpa pengesahan pihak JAKIM.
Pengguna digesa menyalurkan aduan penyalahgunaan logo dan penandaan halal melalui WhatsApp KPDN menerusi talian 019-848 8000, portal e-aduan, talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi EZ ADU.
-- BERNAMA