KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS) mengumumkan penambahan manfaat baharu kepada inisiatif khasnya, IKHLAS Waqf and Endowment (IWE), iaitu manfaat khairat kematian berjumlah RM500 kepada waris peserta.
Dalam kenyataan hari ini, Takaful IKHLAS memaklumkan penambahan manfaat itu diperkenalkan sebagai tanda keprihatinan dan sokongan kepada peserta pada waktu yang sukar.
“Diperkenalkan pada 2019, IWE merupakan inisiatif tanggungjawab sosial yang dibangunkan oleh Takaful IKHLAS bagi menggalakkan sumbangan sosial berterusan oleh peserta kepada masyarakat.
“IWE diberikan secara percuma kepada peserta yang menyertai pelan perlindungan takaful am individu. Melaluinya, Takaful IKHLAS memperuntukkan RM1,000 atas nama peserta bagi tujuan wakaf atau endowmen sekiranya berlaku kematian akibat kemalangan,” menurut kenyataan itu.
Presiden Interim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MNRB Holdings Berhad, yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS General Berhad Datuk Rudy Rodzila Che Lamin, berkata penambahan manfaat itu merupakan langkah proaktif untuk memperkukuh sokongan kepada peserta.
“Kami sentiasa berusaha untuk memastikan produk-produk yang ditawarkan oleh Takaful IKHLAS bukan sahaja memberikan perlindungan komprehensif, malah turut menyediakan manfaat berterusan.
“Ini menzahirkan keindahan konsep takaful – saling tolong-menolong, melindungi dan menyantuni antara satu sama lain,” katanya sambil menambah dana yang terkumpul melalui IWE diuruskan oleh IKHLAS Barakah House, sebuah platform pengumpulan dana patuh Syariah di bawah Takaful IKHLAS.
Rudy Rodzila berkata sejak pelancarannya, jumlah dana IWE yang terkumpul mencecah RM86,000 dan telah disalurkan kepada pelbagai inisiatif untuk meningkatkan kesejahteraan masyarakat secara berterusan, termasuk sumbangan wang tunai, peralatan perubatan dan keperluan rawatan kepada institusi wakaf terpilih.
“Selari dengan matlamat IKHLAS Barakah House iaitu ‘Bersama Memperkasakan Kehidupan’, setiap sumbangan daripada peserta disalurkan bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara berterusan oleh masyarakat,” katanya.
Terkini, Takaful IKHLAS menyerahkan sumbangan IWE daripada 37 peserta berupa lima unit mesin fototerapi kepada Wad Pediatrik, MSU Medical Centre (MSUMC). Peralatan itu digunakan untuk rawatan bayi yang mengalami demam kuning (jaundis) serta komplikasi lain yang memerlukan terapi cahaya sebagai kaedah rawatan utama.
Majlis penyerahan disempurnakan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas Family Berhad, Wan Ahmad Najib Wan Ahmad Lotfi, mewakili Takaful IKHLAS, kepada Pengasas dan Presiden Management Science University (MSU) dan MSUMC Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid.
-- BERNAMA