ALOR GAJAH, 26 Nov (Bernama) -- Tiga warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dalam pemeriksaan melibatkan 153 individu dalam Ops Tirai Biru di sekitar kawasan perairan Kuala Linggi hingga Tanjung Bidara di sini selama dua hari bermula Isnin lepas.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan Kepten Maritim Salehuddin Zakaria berkata mereka yang ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen ialah masing-masing satu lelaki warga Indonesia dan Pakistan serta wanita warga Indonesia berusia 26 hingga 56 tahun di sekitar persisir pantai terlibat.
"Secara keseluruhan sebanyak 153 individu telah diperiksa dalam Ops Tirai Biru terdiri daripada 56 warga tempatan dan 97 warga asing melibatkan 46 warga China, Indonesia (23 orang), India (15 orang), Ukraine (enam orang), Georgia (lima orang) serta masing-masing seorang warga Pakistan dan Bangladesh.
"Selain itu, sebanyak 22 pemeriksaan dilaksanakan melibatkan vesel di laut serta kenderaan dan premis di pesisir pantai bagi memperkukuh kesiapsiagaan serta tahap keselamatan di perairan Melaka walaupun berdepan cabaran cuaca Monsun Timur Laut," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata operasi bersepadu itu melibatkan kerjasama pelbagai agensi termasuk Briged Pertama Infantri Malaysia daripada Angkatan Tentera Malaysia, Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah dan Pasukan Polis Marin Wilayah 2, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Operasi julung kali dilaksanakan itu membabitkan 28 pegawai dan 73 anggota dengan kekuatan 11 aset darat dan lima aset laut melibatkan tugasan rondaan, pemantauan serta tindakan penguatkuasaan sepanjang operasi berlangsung.
Salehuddin berkata operasi itu memberikan tumpuan kepada pemantauan ketat di perairan termasuk pesisir pantai terhadap aktiviti mencurigakan serta penguatkuasaan undang-undang berpandukan prosedur operasi standard bagi Operasi Bersepadu Keselamatan Menyeluruh yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara.
Beliau berkata kerjasama strategik melalui Ops Tirai Biru itu akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan perairan serta kedaulatan negara sentiasa berada pada tahap tertinggi.
Orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang kegiatan mencurigakan di kawasan perairan dengan menghubungi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan menerusi talian 06-3876730 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam.
-- BERNAMA