POLITIK

PRN Sabah: Penyelesaian Isu Tanah, Pertanian 'Senjata' Ghani Pertahan Nabawan

27/11/2025 09:28 AM

Oleh Syed Iylia Hariz Al-Qadri Syed Izman

PENSIANGAN, 27 Nov (Bernama) -- Isu tanah dan pembangunan pertanian menjadi tumpuan utama calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Datuk Ghani Abdul Yassin untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nabawan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17.

Beliau berkata isu pertindihan tanah, pengukuran lot serta pengeluaran geran menjadi antara agenda penting sepanjang penggal lepas dengan lebih 60 peratus berjaya diselesaikan dalam tempoh lima tahun beliau mewakili kawasan berkenaan.

Ghani berkata kejayaan itu sekali gus membuka ruang lebih luas untuk merancakkan pembangunan ekonomi penduduk luar bandar, khususnya melalui sektor pertanian.

“Kalau isu tanah ini tidak selesai, usaha  meningkatkan ekonomi di sini tidak akan selesai. Kerana itu, kita membawa agensi-agensi kerajaan ke sini, cuba menjalankan usaha sama untuk penanaman yang boleh menjana pendapatan masyarakat  di luar bandar,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurut Ghani, inisiatif itu turut diperkukuh melalui penubuhan pusat pengumpulan agar kelapa sawit dan hasil tanaman kontan dapat dijual mengikut harga pasaran tanpa campur tangan orang tengah yang mengambil kesempatan.

Beliau berkata pendekatan itu hasil perancangan rapi bersama agensi seperti Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (SLDB) yang pernah dipengerusikannya untuk memperluas projek tanaman berskala besar serta mengukuhkan program peningkatan pendapatan penduduk.

“Yang lagi 40 peratus (baki isu) itu terlalu sukar (diselesaikan). Misalnya, apabila geran-geran komunal diperkenalkan semasa kerajaan Barisan Nasional tapi dibubar oleh kerajaan Warisan (Parti Warisan) tanpa ada kajian menyeluruh,” katanya.

Mengenai PRN kali ini, Ghani optimis mempertahankan kerusi Nabawan walaupun berdepan saingan sembilan penjuru kerana mempunyai sokongan padu daripada Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Nabawan.

“Hampir kesemua ahli jawatankuasa dan ahli-ahli STAR menyokong saya sebagai calon GRS di sini, mereka menyediakan satu memorandum untuk terus menyokong atas usaha-usaha yang telah kita lakukan untuk masyarakat di Nabawan ini,” katanya.

Ketika berkempen di beberapa kampung di Nabawan dan Pensiangan, Pemangku Ketua Bahagian STAR Nabawan Ami Talu bersama beberapa pimpinan parti itu turut mengiringi Ghani.

Pada masa sama, Ghani menasihati jentera parti agar mengelak perselisihan faham walaupun perkara kecil sepanjang tempoh kempen kerana pilihan raya tidak seharusnya memecahbelahkan masyarakat.

Pada PRN lepas, Ghani memenangi DUN Nabawan dengan majoriti 2,238 undi dalam pertandingan empat penjuru dan persaingan kali ini disifatkannya sebagai lumrah dalam proses demokrasi serta warna-warni politik.

Terletak kira-kira 176 kilometer dari Kota Kinabalu, DUN Nabawan merupakan satu daripada kawasan pedalaman dalam Parlimen Pensiangan.

Sebanyak 23,379 pengundi dalam DUN Nabawan akan mengundi pada Sabtu ini.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layar https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495848