KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin menerima anugerah khas Lifetime Achievement Award pada Malam Gala AFFIN INVIKTA Top50 Women of Excellence Awards 2025 di sini, malam ini.
Anugerah berkenaan seiring dengan kejayaan figura itu yang bukan sahaja mencapai kecemerlangan profesional sebagai anak seni dan usahawan, tetapi turut memberikan inspirasi kepada generasi masa depan.
“Saya bersyukur dan berterima kasih atas anugerah ini … saya harap pencapaian ini akan menjadi inspirasi kepada wanita di luar sana kerana wanita hari ini bukan lagi hanya duduk di dapur, tetapi juga berada di barisan hadapan,” katanya pada majlis berprestij itu.
AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards menjadi antara platform nasional paling berpengaruh yang menghargai wanita berprestasi tinggi yang menyumbang kepada kemajuan negara dan reputasi Malaysia di persada global.
Sementara itu, pasangan beregu badminton wanita negara Pearly Tan dan M. Thinaah yang melakar kejayaan di pentas antarabangsa, menerima Rising Star Award yang merupakan kategori baharu diperkenalkan pada tahun ini.
AFFIN INVIKTA Top 50 Women of Excellence Awards turut mengiktiraf wanita cemerlang daripada pelbagai sektor termasuk kewangan, sains, keusahawanan, pendidikan, perkhidmatan awam dan seni.
Antaranya ialah pemenang Oscar dan aktivis global Tan Sri Michelle Yeoh, tokoh kemanusiaan dan akademia Tan Sri Dr Jemilah Mahmood dan Ketua Hakim Syarie wanita pertama negara Nenney Shuhaidah Shamsuddin.
Proses penjurian dilaksanakan dalam tiga peringkat melibatkan pemilihan 300 calon dalam senarai pendek oleh panel audit sebelum mereka mengenal pasti 50 terbaik untuk diumumkan pada majlis anugerah itu.
Pengasas dan Pengarah Urusan TOP50 Media Synergy Kishvin Sirinavin berkata anugerah itu bukan sekadar pengiktirafan, sebaliknya satu usaha untuk mengangkat peranan wanita dalam membentuk masa depan negara.
“Anugerah ini selaras dengan Dasar Wanita Negara (DWN) dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) 2025-2030, menyokong komitmen Malaysia untuk membina masyarakat yang lebih inklusif, perkasa dan progresif,” katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad Datuk Wan Razly Abdullah berkata penganjuran acara itu juga selari dengan komitmen syarikat perbankan berkenaan terhadap Responsible Banking with Impact, berteraskan Pelan Strategik AFFIN Axelerate 2028 (AX28).
“Kami berbangga mengiktiraf 50 wanita luar biasa, hebat dan mengagumkan, setiap mereka merupakan simbol kekuatan, inspirasi dan kepimpinan.
“Sambutan ini berlangsung pada saat penting bagi Malaysia kerana kepimpinan wanita terus meningkat. Wanita kini memegang 33.1 peratus kerusi lembaga pengarah dalam 100 syarikat tersenarai awam dan 28 peratus di semua syarikat tersenarai, sekali gus memperkukuh tadbir urus dan membentuk hala tuju korporat," katanya.
-- BERNAMA