JAKARTA, 26 Nov (Bernama) -- Banjir dan tanah runtuh melanda empat daerah di wilayah Sumatera Utara, Indonesia berikutan hujan lebat berterusan selama beberapa hari, mengakibatkan sekurang-kurangnya lapan orang maut, puluhan yang lain cedera dan ribuan penduduk terpaksa berpindah dari kediaman mereka, menurut Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB).
Di Sibolga, hujan lebat berterusan selama dua hari mencetuskan banjir kilat dan tanah runtuh, menyebabkan seorang penduduk cedera serta merosakkan tiga rumah, termasuk sebuah rumah kedai dan beberapa jalan.
Jurucakap BNPB Abdul Muhari berkata bencana itu turut menjejaskan 11 daerah kecil di Tapanuli Selatan, mengorbankan lapan orang, 58 yang lain cedera dan menyebabkan 2,851 penduduk hilang tempat tinggal, sementara pasukan tindak balas menggunakan jentera berat untuk membersihkan sisa runtuhan dan membolehkan jalan terlibat kembali dibuka untuk kegunaan orang ramai.
Di Tapanuli Utara, sebanyak 50 rumah rosak dan dua jambatan terputus, manakala di Tapanuli Tengah, 1,902 rumah terjejas di sembilan daerah kecil.
“Air banjir melanda rumah-rumah dan membawa bersama kenderaan, lumpur, batang pokok, serpihan dan sisa isi rumah,” katanya dalam satu kenyataan.
Abdul Muhari berkata angka berkenaan, termasuk jumlah korban dan tahap kerosakan adalah awal dan tertakluk kepada pindaan apabila penilaian lanjut dijalankan.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) berkata Siklon Tropika Koto di Laut Sulu dan “Cyclone Seed 95B” di Selat Melaka menyumbang kepada cuaca ekstrem dengan meningkatkan pembentukan awan dan intensiti hujan lebat di Indonesia bahagian barat, termasuk Aceh dan Sumatera Utara.
BMKG memberi amaran bahawa hujan sederhana hingga lebat serta angin kencang dijangka berterusan di kawasan terjejas sehingga 7 malam Waktu Indonesia Barat pada Rabu, dan turut mengingatkan tentang ombak tinggi antara 1.25 hingga 4 meter di Selat Melaka, perairan timur Sumatera Utara dan sebahagian Lautan Hindi serta utara Pasifik berhampiran Maluku-Papua.
-- BERNAMA