PUTRAJAYA, 26 Nov (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) sedang memantau rapi situasi banjir di Songkhla, Thailand yang dikhuatiri menjejaskan beberapa venue Sukan SEA 2025, dijadual berlangsung dari 9 hingga 20 Dis ini.
Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pasukan pemantau khas menerusi MSN telah digerakkan selepas situasi di Songkhla dilapor semakin membimbangkan dengan fasiliti sukan kritikal terjejas dan berisiko dipindahkan sekiranya paras air terus meningkat.
"Kami perlukan maklumat tepat dari lapangan, sebab itu pasukan pemantau dihantar segera untuk menilai tahap kerosakan dan risiko kepada atlet," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Persidangan Meja Bulat Belia: Bantuan Awal Menangani Tingkah Laku Bunuh Diri Belia di sini hari ini.
Hannah berkata MSN sedang berhubung rapat dengan sekretariat di Thailand untuk mendapatkan perkembangan terkini berhubung lokasi terjejas.
Beliau berkata keselamatan atlet negara dan pegawai kekal menjadi keutamaan KBS.
"Saya sudah berhubung dengan KLN (Kementerian Luar) mengenai isu keselamatan, dan buat masa ini kita akan terus mendapatkan pandangan daripada KLN sebelum bergerak. Beri kami sedikit masa untuk berhubung dengan sekretariat," katanya.
Hannah berkata Songkhla merupakan lokasi untuk sukan tempur dan lokasi yang dilapor terkesan adalah untuk acara bola sepak.
"Kita perlu memberi Thailand sedikit masa kerana dalam tempoh bencana ini, banyak persediaan dan kerja-kerja menyelamat sedang dijalankan di sana. Jadi kita tidak seharusnya menekan pihak mereka.
"Biar mereka (Thailand) selesaikan dahulu urusan penyelamatan. Yang penting, MSN sedang berhubung rapat dengan sekretariat di sana," katanya.
Ditanya sama ada kontinjen negara akan menaiki bas ke Songkhla untuk Sukan SEA, Hannah berkata rancangan akan diubah sekiranya perlu, namun yang penting adalah keselamatan atlet.
"Kalau bas tidak boleh digunakan, kita akan cari kaedah lain," katanya.
Media melaporkan Stadium Tinsulanonda di Songkhla yang menjadi venue bola sepak lelaki kumpulan B membabitkan Malaysia, Vietnam dan Laos terjejas banjir dan berkemungkinan dipindah ke Bangkok.
Perlawanan bola sepak akan bermula 4 Dis ini dan kontinjen negara dijangka melakukan persiapan mengikut dua senario iaitu kekal di Songkhla atau berpindah ke venue baharu bergantung kepada laporan daripada pasukan pemantau.
-- BERNAMA