KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Seorang ahli perniagaan bergelar "Datuk" mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang wanita membabitkan pemindahan wang berjumlah RM500,000, tujuh tahun lepas.
Ridzuan Abdullah, 38, didakwa memperdaya wanita berusia 49 tahun itu supaya memindahkan wang berkenaan bagi tujuan mendapatkan keuntungan hasil daripada perniagaan kerja-kerja salutan lantai.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Air Molek 1, Taman Tasik Titiwangsa di sini antara 1 Jan hingga 10 Julai 2018 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum setahun maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nurainizatul Farhana Zainal menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh melaporkan diri sebulan sekali di balai polis dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Peguam Najib Zakaria pula memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya memberikan kerjasama yang baik kepada pihak berkuasa.
Hakim Norma Ismail membenarkan Ridzuan diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan seperti dimohon pihak pendakwaan dan menetapkan 5 Jan 2026 untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
-- BERNAMA