Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Ringgit mengakhiri kenaikan selama tiga hari berturut-turut apabila ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu berikutan aktiviti pengambilan untung oleh pelabur.
Pada 6 petang, mata wang tempatan susut kepada 4.1360/1385 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1345 ketika ditutup semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit bermula dengan pergerakan kukuh pada RM4.1258 berbanding dolar AS semasa awal dagangan hari ini.
“Sebelum dagangan berakhir ringgit turun kepada RM4.1350 dengan aktiviti pengambilan untung oleh kalangan pelabur mungkin telah mempengaruhi sentimen pasaran,” katanya kepada Bernama.\
Beliau berkata bagaimanapun, Indeks Dolar AS (DXY) kebanyakannya kekal di bawah 100 mata, berikutan jangkaan semakin meningkat terhadap penurunan kadar faedah AS pada Disember ekoran data ekonomi yang lemah termasuk jualan runcit dan keyakinan pengguna yang hambar.
Pada akhir dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding beberapa mata wang utama.
Unit tempatan susut berbanding yen Jepun kepada 2.6438/6456 daripada 2.6420/6451 ketika ditutup semalam, dan turun berbanding pound British kepada 5.4492/4525 daripada 5.4235/4294.
Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.7862/7891 daripada 4.7635/7687.
Ringgit juga didagangkan rendah berbanding mata wang negara ASEAN.
Mata wang domestik susut berbanding dolar Singapura kepada 3.1847/1869 daripada 3.1708/1745 semalam, dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.8308/8433 daripada 12.7793/7999.
Ringgit turut susut berbanding rupiah Indonesia kepada 248.2/248.4 daripada 247.9/248.3, dan kurang stabil berbanding peso Filipina kepada 7.02/7.03 daripada 7.01/7.02 pada Selasa.
-- BERNAMA