KOTA KINABALU, 26 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menjangkakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada Sabtu ini tidak akan menyaksikan mana-mana parti memperoleh majoriti jelas, sekali gus membuka laluan kepada pembentukan kerajaan campuran.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata berdasarkan "bacaannya", persaingan banyak parti di kebanyakan kerusi menunjukkan tiada gabungan yang mampu muncul dominan, sekali gus memerlukan kerjasama politik bagi memastikan kestabilan Sabah.
“Bacaan saya pada 29 hari bulan nanti, kita tahu tidak akan ada satu parti pun yang dominan di Sabah, bacaan saya akan ada kerajaan campuran sekali lagi di Sabah dan kita mahu melihat bahawa kestabilan politik di Sabah ini diberi keutamaan.
“Kita mahu (projek lebuh raya) Pan Borneo Sabah diselesaikan dalam tempoh lima tahun, kita mahu masalah tiga serangkai diselesaikan, iaitu infrastruktur, bekalan elektrik dan juga air … rakyat Sabah layak untuk mendapat jalan raya yang baik, air bersih yang baik dan elektrik yang baik supaya boleh hidup dengan aman,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Timbalan Perdana Menteri Bersama Masyarakat Kaum India Sabah di Inanam hari ini.
Ahmad Zahid berkata walaupun PRN kali ini menyaksikan pertembungan hingga 14 penjuru di beberapa kawasan, proses itu mencerminkan festival demokrasi yang menjadi keunikan Sabah.
Beliau juga berkata nilai toleransi kaum dan agama sebagai antara kekuatan utama masyarakat Sabah, malah menyifatkan kadar penerimaan sosial di Sabah dan Sarawak lebih tinggi berbanding di Semenanjung.
“Dalam keadaan yang beginilah saya merasakan bahawa sesiapa pun yang akan mentadbir negeri Sabah nanti, yang penting toleransi pelbagai kaum mesti dipertahankan.
“Itulah sebabnya Kerajaan MADANI yang dipromosikan, yang diuar-uarkan oleh PMX, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim ialah contoh yang terbaik untuk menentukan bahawa kita menghormati pelbagai kaum, pelbagai agama, pelbagai bahasa dan pelbagai budaya. Kerana inilah keunikan, keunggulan masyarakat Malaysia,” katanya.
Mengulas sumbangan masyarakat India di negeri itu, Ahmad Zahid berkata peratusan kecil kaum berkenaan bukanlah ukuran, sebaliknya peranan mereka dalam bidang profesional dan perniagaan perlu dihargai sebagai sebahagian daripada pembinaan negeri.
Dalam aspek pendidikan, beliau sekali lagi menekankan peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan sasaran kerajaan untuk memastikan 70 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih TVET menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13 bagi memenuhi permintaan tenaga mahir pelaburan langsung asing.
Beliau berkata kerajaan komited membuka peluang TVET kepada semua pelajar dari seluruh negara termasuk program penghantaran pelajar ke China dalam bidang berkaitan teknologi.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini sebagai hari pengundian.
Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php.
-- BERNAMA