AM

Lebih 100 Kampung Di Kelantan Berisiko Dilanda Banjir Hingga Ahad Ini

26/11/2025 11:45 PM

KOTA BHARU, 26 Nov (Bernama) -- Lebih 100 kawasan rendah di lima jajahan di Kelantan diramal berdepan banjir bermula hari ini hingga 30 Nov ini.

Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN), Jabatan Pengairan dan Saliran dalam kenyataan hari ini memaklumkan amaran itu dikeluarkan susulan Amaran Hujan Berterusan (Bahaya) oleh Jabatan Meteorologi Malaysia pada 24 Nov lepas serta paras air beberapa sungai utama yang dijangka melepasi paras bahaya.

“Antara kawasan yang dijangka terjejas ialah Gua Musang, Kuala Krai, Machang dan Tanah Merah, membabitkan kampung-kampung dalam lingkungan lima kilometer dari Lembangan Sungai Kelantan.  

Antara kawasan berisiko di Gua Musang adalah Kampung Jeram Tekoh dan Kampung Limau Kasturi.

Di Kuala Krai antaranya merangkumi sebahagian besar penempatan rendah seperti Kampung Mambong, Kampung Pahi, Kampung Bahagia, Kampung Bekok, Kampung Cheneh, Kampung Batu Mengkebang, Kampung Sungai Pas, Kampung Temalir, Dusun Damar dan Taman Perisai Wira.

Di Machang, antaranya melibatkan kawasan luas sekitar Sungai Kelantan termasuk Kampung Pangkal Durian dan Kampung Kolam Abu.

Sementara itu, di Tanah Merah kawasan rendah sekitar Sungai Kelantan termasuk Kampung Jerangau, Kampung Chekok Ipoh, Taman Kiara, Kampung Belimbing dan Kampung Kerilla.

PRABN turut mengingatkan banjir boleh berlaku lebih awal atau lewat daripada masa yang dijangka, dan menasihati penduduk di kawasan terlibat supaya berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa.  

“Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut melalui portal rasmi PublicInfoBanjir atau Facebook @PublicInfoBanjir,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2495823