KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki disyaki melakukan ganguan seksual terhadap tiga pelajar perempuan di asrama sebuah sekolah di Kuala Kubu Bharu, Selangor, semalam.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin berkata tangkapan terbabit dibuat selepas pihaknya menerima tiga laporan daripada remaja perempuan terbabit pada 4.16 petang, semalam
“Hasil siasatan mendapati suspek melakukan gangguan seksual dengan menyentuh tiga remaja berusia 16 tahun itu semasa mangsa sedang tidur di katil asrama terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ibrahim berkata lelaki berusia 48 tahun itu ditahan pada hari sama laporan dibuat dan semakan mendapati lelaki berusia 48 tahun itu tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Beliau berkata permohonan reman akan dilaksanakan hari ini terhadap lelaki terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Ibrahim berkata dengan tangkapan terbabit, pihaknya berjaya menyelesaikan kes tersebut.
-- BERNAMA