JENAYAH & MAHKAMAH

Polis Kuala Lumpur Perkasa Sistem Pegawai Perhubungan Sekolah

27/11/2025 09:54 PM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Polis Kuala Lumpur memperkukuh sistem Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) dengan melantik pegawai kanannya untuk mengetuai pasukan PPS di setiap sekolah.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata inisiatif berkenaan antara keutamaan polis kontinjen itu dalam usaha menangani isu disiplin, jenayah dan keselamatan di sekolah secara lebih berstruktur.

“Jika sebelum ini seorang inspektor mengetuai sebuah sekolah, kini saya menugaskan pegawai berpangkat ASP dan DSP.

“Seorang ASP akan bertanggungjawab terhadap beberapa sekolah, manakala DSP pula akan mengetuai penugasan berkenaan,” katanya berucap pada Program Kesejahteraan Komuniti Disiplin Terjaga, Generasi Terbina di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datuk Megat Affandi Ismail dan lebih 1,200 petugas Kementerian Pendidikan (KPM) termasuk pengetua, guru besar, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid dan guru disiplin.

Fadil berkata penambahbaikan terhadap sistem PPS itu dilakukan kerana usaha pencegahan jenayah perlu dimulakan di peringkat sekolah dan bukannya menunggu sehingga ia telah berlaku di luar sekolah.

Beliau berkata penubuhan pasukan itu penting bagi memantau sekolah pelbagai aliran di ibu negara, khususnya dalam menangani isu seperti buli fizikal dan siber, penyalahgunaan dadah serta penggunaan rokok elektronik atau vape dalam kalangan pelajar.

"Kehadiran PPS yang lebih kerap bersama guru membolehkan kita menghalang gangguan luar termasuk elemen gengsterisme daripada menembusi sekolah," katanya.

Fadil turut memberi jaminan pihak polis akan bekerjasama secara profesional dengan guru disiplin dan meminta golongan pendidik tidak bimbang dalam menjalankan tugas penguatkuasaan peraturan di sekolah.

Pada masa ini di kawasan Kuala Lumpur dan Putrajaya, terdapat 219 sekolah rendah, 122 sekolah menengah serta 27 sekolah antarabangsa, dengan seorang PPS bagi setiap sekolah.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496234