AM

Peruntukan Belanjawan 2026 Bagi Tujuh Kementerian Diluluskan Dewan Rakyat Minggu Ini

28/11/2025 10:30 AM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Peruntukan Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa bagi tujuh lagi kementerian diluluskan pada persidangan Dewan Rakyat minggu ini. 

Kementerian terlibat ialah Kementerian Komunikasi, Kementerian Digital, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Sumber Manusia serta Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Setakat ini, peruntukan bagi 26 kementerian dan Jabatan Perdana Menteri telah diluluskan, manakala perbahasan bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang telah dijadualkan semula, akan berlangsung Isnin ini.

Berdasarkan takwim asal persidangan Dewan Rakyat, sesi perbahasan dan penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 (Belanjawan 2026) bagi setiap kementerian peringkat jawatankuasa berlangsung 5 hingga 27 Nov.

Sementara itu, sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim digantikan dengan jawapan menteri-menteri berikutan Anwar baru pulang dari siri lawatan ke tiga negara Afrika selama seminggu.

Sepanjang persidangan minggu ini, antara isu menjadi perhatian ialah langkah kerajaan menoktahkan miskin tegar, perundangan kecerdasan buatan (AI), isu buli, Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS 999) dan cadangan untuk menilai semula peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan Rang Undang-Undang (RUU) Antibuli akan dibentangkan bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 1 Dis ini.

Beliau berkata Kabinet pada 21 Nov lepas telah meluluskan RUU berkenaan untuk dibentangkan di Dewan Rakyat selepas inti pati undang-undang baharu itu selesai dibentangkan kepada Jawatankuasa Pilihan Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat pada 19 Nov.

Sementara itu, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching menjelaskan jumlah panggilan kecemasan diterima menerusi sistem NG MERS 999 sejak pelancarannya pada 15 Nov lepas, adalah tinggi tetapi masih dalam keadaan terkawal.

Teo berkata walaupun jumlah panggilan kecemasan itu lebih tinggi berbanding sistem lama MERS 999, 95 peratus panggilan berjaya dijawab dan diproses dalam tempoh lapan saat.

Selain itu, situasi banjir yang melanda beberapa negeri serta negara jiran menjadi tumpuan Dewan Rakyat malah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan pada sesi MQT semalam, memaklumkan setakat pagi Khamis, lebih 700 rakyat Malaysia berjaya dipindahkan dari Hat Yai, Thailand ke Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Beliau berkata kira-kira 500 rakyat Malaysia masih terkandas di Hat Yai akibat bencana itu dan usaha menyelamat mereka giat dilaksanakan kerajaan.

Dalam pada itu, sebagai tanda solidariti sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita, majoriti Ahli Parlimen memakai pakaian dan aksesori berwarna oren pada Selasa seperti disarankan Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul.

Persidangan Dewan Rakyat minggu ini juga tidak sunyi daripada insiden kekecohan dan perang mulut antara Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang menyaksikan, dua Ahli Parlimen iaitu Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) dan Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat), diarah keluar daripada persidangan dewan pada Selasa, kerana mencetuskan kekecohan hingga mengganggu mesyuarat.

Turut menjadi agenda minggu ini ialah pembentangan bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Pindaan) 2025 yang bertujuan meluaskan kuasa perbadanan itu.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis, manakala Dewan Negara akan mula bersidang pada 1 Dis.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496337