DAMSYIK, 28 Nov (Bernama-SANA) -- Beberapa penduduk Syria maut manakala yang lain cedera dalam serangan Israel di bandar Beit Jinn di pinggir bandar Damsyik pada awal Jumaat, susulan pencerobohan pasukan tentera Israel ke bandar itu dan penahanan tiga individu.
Menurut wartawan Agensi Berita Arab Syria (SANA), dron Israel masih berlegar di ruang udara kawasan itu, sambil menyatakan bahawa maklumat awal menunjukkan lima orang maut, termasuk dua kanak-kanak. Mayat mereka kemudian dibawa ke Hospital Kebangsaan Al-Golan di bandar Al-Salam, Quneitra.
Beliau berkata tentera Israel menyasarkan Beit Jinn dengan tembakan artileri pada 3.40 pagi, sementara satu pasukan tentera memasuki bandar itu dan menahan tiga individu sebelum berundur.
Wartawan itu memaklumkan bahawa berlaku pertempuran sengit antara tentera Israel dan penduduk bandar berkenaan selepas pasukan itu menceroboh kawasan tersebut.
Pada masa yang sama, pesawat Israel melakukan rondaan meluas di kawasan itu dan jet pejuang melepaskan belon pembakar selepas pertempuran berlaku. Bandar itu turut menyaksikan pergerakan penduduk yang melarikan diri ke bandar-bandar berdekatan.
-- BERNAMA-SANA