KUCHING, 28 Nov (Bernama) -- Sarawak terus memperkukuh agenda ekonomi hijau susulan Persidangan Pihak-Pihak ke-28 (COP28) di Dubai, melalui pelaksanaan peraturan baharu serta perluasan projek kredit karbon, termasuk membuka peluang kepada komuniti luar bandar untuk menjana manfaat ekonomi secara mampan.
Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak Datuk Len Talif Salleh berkata inisiatif karbon negeri telah diperkasakan melalui penggubalan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pelepasan Gas Rumah Kaca) 2023 serta Peraturan Hutan (Aktiviti Karbon Hutan) 2022, yang mewajibkan semua projek mematuhi standard karbon antarabangsa seperti Verra dan Gold Standard bagi memastikan integriti, ketelusan dan keberkesanan pelaksanaannya.
“COP28 turut menekankan kerjasama antarabangsa di bawah Artikel 6 bagi mengurangkan pelepasan karbon melalui Nature-based Solutions (NbS) seperti penanaman semula hutan dan inisiatif kredit karbon, pendekatan yang kini selari dengan hala tuju Sarawak.
“Sejajar penguatkuasaan ordinan dan peraturan tersebut, sebanyak sembilan Permit Kajian Karbon Hutan meliputi 231,983 hektar telah dikeluarkan, manakala tujuh permohonan baharu sedang dipertimbangkan. Selain itu, satu Lesen Karbon Hutan berkeluasan 25,675 hektar telah diluluskan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Christopher Gira Sambang (GPS-Tamin) mengenai hasil pelaksanaan inisiatif kredit karbon pasca-COP28 serta manfaat kepada komuniti luar bandar pada sesi Waktu Pertanyaan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Len Talif berkata inisiatif itu juga membuka peluang penyertaan kepada komuniti luar bandar, termasuk pemilik tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) yang diwartakan, untuk memohon Permit Kajian Karbon Hutan serta Lesen Karbon Hutan sekiranya memenuhi keperluan ordinan dan peraturan berkaitan.
Selain itu, beliau berkata pemaju projek akan menyediakan pelbagai latihan dan program pembangunan kapasiti untuk komuniti bagi menyokong pengurusan projek karbon dan penanaman semula hutan.
“Antaranya termasuk latihan teknik penanaman semula hutan, pengurusan nurseri anak pokok, pemantauan dan rondaan kawasan projek, pengurusan sumber hutan secara mampan serta latihan inventori biomas.
Program ini turut membolehkan komuniti meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pengalaman praktikal dalam pengurusan projek karbon, sekali gus memperkukuh penglibatan mereka dalam usaha pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
-- BERNAMA