EKONOMI

CPTPP Pemangkin Bagi Tarikan FDI Ke Malaysia - Tengku Zafrul

28/11/2025 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) terus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan menarik, apabila kira-kira 33.1 peratus daripada pelaburan langsung asing (FDI) negara adalah dari ekonomi CPTPP.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata perjanjian itu juga membuka pintu yang lebih luas bagi profesional dan usahawan Malaysia terutama dalam sektor perkhidmatan dan kemahiran untuk bersaing dan berkhidmat di negara yang memeterai CPTPP.

Beliau berkata sektor tersebut melibatkan seperti kejuruteraan, undang-undang serta perubatan.

“CPTPP adalah pemangkin penting dalam usaha kita melonjakkan Malaysia ke peringkat rantaian nilai global. Kita sedang memanfaatkan perjanjian ini untuk meletakkan negara sebagai hab bagi pelaburan dan perdagangan ke dalam ASEAN dan Indo-Pasifik yang lebih luas,” katanya menerusi hantaran di X, hari ini.

Manfaatnya adalah melangkaui pasaran sedia ada dan Malaysia telah mendapat akses perjanjian perdagangan bebas (FTA) buat kali pertama ke empat pasaran utama baharu iaitu Kanada, Mexico, Peru dan United Kingdom, katanya.

“Ini bermakna tiada tarif kepada pengeksport kita, daripada komponen automotif dan tekstil hingga minyak sawit dan produk elektrikal dan elektronik bernilai tinggi.

“Di samping itu, usaha untuk menghapuskan 99 peratus tarif menjelang 2033 akan menjamin bekalan bahan penting yang lebih murah termasuk bahan api dan jentera yang amat diperlukan oleh kilang dan industri kita,” katanya.

Tengku Zafrul berkata justeru, perjanjian CPTPP bukan sekadar perjanjian perdagangan malah juga adalah platform yang mengukuhkan kedudukan ekonomi Malaysia untuk dekad yang akan datang.

“Marilah kita terus mengukuhkan peranan Malaysia sebagai hab utama dalam rantaian nilai berteknologi tinggi dan dipacu perkhidmatan,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2496488