Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid and Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Ringgit dibuka sedikit tinggi berbanding dolar AS pada Rabu apabila para peniaga mengambil pendekatan tunggu dan lihat menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) yang dijangka lebih cenderung memilih pengurangan kadar faedah, kata seorang ahli ekonomi.
Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1200/1300 berbanding dolar AS berbanding paras 4.1275/1330 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka terus bergerak dalam jajaran sempit hari ini berikutan kekurangan pemangkin baharu.
Beliau berkata, Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.06 peratus kepada 99.357 mata sejajar dengan jangkaan lebih 90 peratus akan berlaku pengurangan kadar faedah.
“Hari ini, ringgit dijangka berlegar antara RM4.12 dan RM4.13,” katanya kepada Bernama.
Pada pembukaan, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding beberapa mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding pound British kepada 5.4466/4599 daripada 5.4528/4667 ketika ditutup pada pada Selasa, meningkat sedikit berbanding euro kepada 4.7907/8024 daripada 4.7916/8038, dan lebih kukuh berbanding yen Jepun kepada 2.6451/6517 daripada 2.6545/6616.
Bagaimanapun ia diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.
Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1788/1870 daripada 3.1836/1919, dan turut menokok berbanding baht Thailand kepada 12.8625/9058 daripada 12.8868/9296.
Ringgit, bagaimanapun, susut sedikit berbanding rupiah Indonesia kepada 247.8/248.5 daripada 247.6/248.4, dan hampir tidak berubah berbanding peso Filipina pada 7.04/7.06 berbanding 7.05/7.07 semalam.
-- BERNAMA