AM

Tiga Menteri Angkat Sumpah Penggal Kedua Sebagai Senator Dewan Negara

03/12/2025 12:01 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Tiga menteri Kabinet hari ini mengangkat sumpah bagi penggal kedua sebagai senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Mereka ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. Pelantikan semula itu membolehkan mereka meneruskan tugas dalam Jemaah Menteri.

Awang Bemee berkata pelantikan semula ketiga-tiga menteri itu mencerminkan kepercayaan berterusan terhadap kepakaran dan komitmen mereka dalam menyumbang kepada dasar serta pembangunan negara.

“Pelantikan ini dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan Perkara 45(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, dan berkuat kuasa mulai hari ini hingga 2 Dis 2028, selaras Perkara 45(3) dan 45(3A).

“Selamat berkhidmat dan bertugas,” katanya.

Untuk rekod, ketiga-tiga mereka mengangkat sumpah bagi penggal pertama pada Disember 2022.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498249