EKONOMI

Kerajaan Teliti Kaedah Penentu Kumpulan Sasar, Termasuk Pendapatan Boleh Guna - Hanifah Hajar

03/12/2025 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerajaan sedang meneliti kaedah penguraian yang lebih sesuai bagi menentukan kumpulan sasar, termasuk mempertimbang penggunaan pendekatan berasaskan pendapatan boleh guna, kata Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Hanifah Hajar Taib.

Beliau berkata usaha itu bagaimanapun memerlukan masa serta penelitian mendalam sebelum dapat dilaksanakan bagi memastikan keberkesanan serta ketepatan pelaksanaannya.

“Kerajaan pada masa ini masih mengekalkan pengelasan pendapatan seperti B40 (40 peratus terendah), M40 (40 peratus pertengahan) dan T20 (20 peratus tertinggi).

“Walaubagaimanapun, dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), penentuan kumpulan sasar dalam pemberian bantuan sosial dan subsidi akan ditambah baik,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai perkembangan rancangan pengelasan berdasarkan pendapatan boleh guna sebagai ganti pengelasan berdasarkan pendapatan kasar dalam pemberian bantuan dan subsidi kerajaan.

Menjelaskan selanjutnya, Hanifah Hajar berkata pemberian bantuan pada masa ini secara umumnya ada;ah berdasarkan had kelayakan pendapatan garis kemisikinan (PGK) yang mengambil kira keperluan asas isi rumah merangkumi makanan dan bukan makanan, termasuk kesihatan dan pendidikan.

Selain itu, beliau turut memaklumkan bahawa pendapatan penengahan kumpulan B40 telah meningkat dengan purata peningkatan sebanyak 5.2 peratus kepada RM3,815 pada 2024 daripada 3,440 dalam 2022.

“Pendapatan penengahan M40 turut meningkat daripada RM7,694 pada 2022 kepada RM8,999 pada 2024 iaitu peningkatan purata 5.6 peratus manakala T20 menyaksikan peningkatan purata dua peratus daripada RM15,867 pada 2022 kepada RM16,517 pada 2024.

“Peningkatan ini mengambil kira daripada empat punca utama iaitu pendapatan bergaji, bekerja sendiri, harta dan pelaburan serta pindahan semasa,” katanya.

Hanifah Hajar berkata demikian sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Dr Richard Rapu (GPS-Betong) mengenai had pendapatan isi rumah terkini yang digunapakai oleh kerajaan bagi menentukan kategori sosioekonomi seperti B40, M40 dan T20.

-- BERNAMA



 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498254