GUA MUSANG, 3 Dis (Bernama) -- Jalan Gua Musang-Lojing FT185 di Seksyen 107.6, berhampiran Pos Blau, ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan mulai hari ini susulan kejadian tanah runtuh.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Gua Musang dalam kenyataan hari ini memaklumkan penutupan itu berkuat kuasa sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kemudian, bagi memberi ruang kepada kerja keselamatan dan pemulihan.
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif sementara.
“Pengguna dari Gua Musang yang menuju ke Tanah Tinggi Cameron Highlands, Pahang, boleh menggunakan laluan Sungai Koyan-Ringlet-Cameron Highlands.
“Bagi perjalanan ke Ipoh, Perak, laluan Gua Musang-Sungai Koyan-Ringlet-Tapah-Ipoh disediakan sebagai alternatif,” menurut kenyataan itu.
JKR turut mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati ketika memandu dan mematuhi semua papan tanda keselamatan di laluan terlibat.
Sementara itu, seorang remaja lelaki cedera selepas kenderaan yang dipandunya tergelincir ke dalam gaung di lokasi kejadian tanah runtuh awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo, berkata mangsa berusia 19 tahun itu memandu Proton Satria Neo dari Cameron Highlands menuju ke Pasir Puteh ketika kejadian berlaku.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 5 pagi. Selepas pemandu melepasi kira-kira satu kilometer penghadang penutupan jalan akibat tanah runtuh dan tiba di lokasi, kenderaannya tergelincir ke dalam gaung," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa mengalami kecederaan patah tangan kiri dan dibawa dengan ambulans ke Klinik Kesihatan Pos Brooke untuk menerima rawatan awal.
Menurut Sik, kemalangan berlaku kerana pemandu melalui jalan yang telah ditutup dan memasuki kawasan tanah runtuh.
"Polis menasihati orang awam supaya mematuhi sepenuhnya arahan pihak berkuasa bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini," katanya.
-- BERNAMA