EKONOMI

MITI Perkukuh Pelaburan Peralihan Hijau Pacu Transisi Hijau Berskala Besar - Liew

03/12/2025 02:34 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan meningkatkan pelaburan dalam peralihan hijau bagi memastikan transisi hijau negara dapat dilaksanakan pada skala yang lebih besar, kata Timbalan Menterinya Liew Chin Tong.

Beliau berkata langkah itu mencerminkan pendekatan MITI yang lebih menyeluruh, bukan sekadar bergantung kepada pemberian insentif atau pelepasan cukai dalam usaha menggerakkan aspirasi negara menuju transisi hijau.

“Kalau kita hanya bergantung kepada insentif dan pelepasan cukai, ia tidak akan mempunyai kesan atau impak yang lebih luas.. tetapi dengan menumpukan lebih banyak terhadap pelaburan, transisi hijau boleh berlaku dengan skala yang lebih besar.

“Pada masa yang sama, MITI juga akan menyediakan laporan strategi pelaburan hijau pada setiap tahun,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Ng Keng Heng berkenaan perancangan MITI untuk menyediakan laporan pelaburan hijau dan mewujudkan audit jejak karbon untuk memastikan insentif kerajaan tidak disalah guna.

Dalam pada itu, Liew berkata rangka kerja Pengukuran, Pelaporan dan Pengesahan (MRV) adalah amat penting terutama untuk industri besi dan keluli dalam pelaksanaan cukai karbon.

Katanya MRV diperlukan untuk memastikan laporan pelepasan industri dapat diselaraskan dan dibandingkan secara seragam.

“Sebelum kita melaksanakan cukai karbon kita perlu memulakan pengukuran (menerusi MRV) untuk memastikan berapa pelepasan, baru kita boleh (laksanakan) cukai karbon.

“Dengan adanya cukai karbon, barulah kita boleh menjana ekosistem iaitu dengan mewujudkan Skim Perdagangan Pelepasan (ETS). ETS merupakan satu pasaran untuk perdagangan karbon,” kata Liew.

Liew berkata cukai karbon yang dikutip akan disalurkan semula untuk membantu transisi hijau negara.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498310