AM

KPKM Kukuh Perikanan Rekreasi Sebagai Tarikan Pelancong, Jana Ekonomi Pesisir

03/12/2025 04:46 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) komited memperkukuh aktiviti perikanan rekreasi atau sport fishing sebagai satu daripada segmen ekonomi berimpak tinggi bagi menjana pendapatan komuniti pesisir serta merancakkan sektor pelancongan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu, berkata Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) melaksanakan pelbagai pendekatan bersepadu melalui kerjasama dengan beberapa kementerian dan agensi.

Beliau berkata antara usaha utama yang sedang digerakkan ialah pendigitalan pengurusan melalui Sistem e-Rekreasi DOF sebagai platform nasional untuk mendaftarkan pemancing rekreasi, mengumpul data penyertaan, dan memantau pendaratan ikan mengikut lokasi tumpuan.

“Sistem ini membantu memperkukuh tadbir urus serta perancangan pembangunan produk pelancongan berasaskan memancing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Prof Emeritus Dr Mohammad Redzuan Othman mengenai langkah kementerian bersama kementerian lain bagi menggalakkan kegiatan memancing rekreasi di sungai, tasik, dan laut di Malaysia sebagai satu daripada inisiatif mempromosikan pelancongan.

Mohamad berkata, pemuliharaan sumber dan penambahbaikan ekosistem di kawasan rekreasi utama turut dilaksanakan bagi memastikan kelestarian stok ikan melalui program pelepasan benih ikan dan udang di sungai, tasik, serta perairan marin terpilih.

Selain itu, program melabuhkan tukun rekreasi turut dijalankan bagi mewujudkan habitat baharu serta meningkatkan daya tarikan lokasi memancing.

Beliau berkata pada tahun ini sebanyak 4.7 juta benih ikan dan 13.4 juta benih udang galah telah dilepaskan, manakala 185 unit tukun tiruan rekreasi telah dilabuhkan.

Mohamad menambah, latihan dan pensijilan rentas kementerian turut disediakan bagi meningkatkan profesionalisme industri, termasuk aspek keselamatan, pemuliharaan sumber, dan pematuhan peraturan perikanan rekreasi.

“Latihan dan pensijilan ini melibatkan beberapa kementerian dan agensi seperti Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pengusaha bot, pemandu pelancong, serta komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata pendekatan bersepadu itu berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan merangsang perkhidmatan hiliran seperti penyewaan bot, penginapan, makanan laut, peralatan memancing, dan perkhidmatan pemandu pelancong. Dengan itu, perikanan rekreasi boleh menjadi segmen pelancongan niche yang berdaya saing di peringkat serantau.

“Kerajaan yakin bahawa pendekatan ini bukan sahaja akan menjadikan aktiviti rekreasi sebagai tarikan pelancong baharu, malah mampu memperkukuh ekonomi tempatan melalui penciptaan peluang pekerjaan, peningkatan permintaan produk perikanan, serta pengembangan aktiviti hiliran seperti penyediaan makanan laut, sewaan bot, penginapan, dan khidmat pemandu pelancong,” katanya.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498421