KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 yang diluluskan Dewan Rakyat semalam, dengan antara lain memperkenalkan Skim Lindung 24/7 adalah satu perubahan bersejarah, kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.
Beliau berkata ia merupakan kali pertama sejak 1969 untuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menyediakan perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa, termasuk di luar waktu bekerja.
“Pekerja Malaysia kini akan dilindungi 24 jam sehari, tujuh hari seminggu dan setiap masa, bila-bila masa!
“Hal ini akan menjimatkan kos bagi pekerja, keluarga mereka, majikan dan kerajaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sim menganggarkan pada tahun pertama pelaksanaan, Skim Lindung 24/7 mampu menjimatkan hingga RM600 juta wang pembayar cukai bagi perbelanjaan perubatan dan bantuan kebajikan.
Semalam, Dewan Rakyat meluluskan RUU Keselamatan Sosial Pekerja (Pindaan) 2025 antara lain bertujuan memperkenalkan Skim Lindung 24/7 iaitu perlindungan menyeluruh kepada pekerja sepanjang masa termasuk di luar waktu bekerja.
Sim berkata pelaksanaan skim berkenaan bakal memberi manfaat kepada hampir 10 juta pekerja formal di seluruh negara.
-- BERNAMA