KOTA KINABALU, 3 Dis (Bernama) -- Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini membantah permohonan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menghentikan inkues kematian Zara Qairina Mahathir.
NGO berkenaan telah memohon semakan kehakiman dan mendakwa prosiding itu tidak selaras dengan undang-undang inkues Sabah.
AGC berhujah bahawa inkues itu dijalankan mengikut lunas undang-undang dan selaras dengan prosedur di Sabah sekali gus membantah permohonan NGO berkenaan untuk semakan kehakiman bagi membatalkan prosiding tersebut.
Permohonan itu, yang difailkan pada 21 Nov lepas oleh Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ekonomi Semangat Bersatu Malaysia (Pembela) Datuk Seri Mohammad Jeffry Rosman, menamakan Peguam Negara dan Mahkamah Koroner sebagai responden.
Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan mengemukakan bantahan atas alasan pemohon tidak mempunyai locus standi untuk mencabar inkues itu kerana NGO berkenaan bukanlah pihak dalam prosiding tersebut, dan ia sudah mendengar keterangan 56 saksi setakat ini.
“Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Celestina Stuel Galid, yang kemudian menetapkan 7 Jan tahun depan untuk e-Semakan, turut mengarahkan AGC memfailkan hujahan selewat-lewatnya pada 17 Dis ini manakala pemohon pada 31 Dis,” kata Shamsul.
Pada prosiding itu, peguam Datuk Ram Singh bersama Joan Goh yang mewakili seorang daripada tertuduh dalam kes buli Zara Qairina serta Shahlan Jufri, yang mewakili ibu Zara Qairina, memaklumkan mahkamah bahawa mereka akan memfailkan permohonan untuk dimasukkan sebagai pihak ketiga.
Sementara itu, peguam Jul Hamri Jumhani yang mewakili pemohon memaklumkan mahkamah anak guamnya tidak hadir pada prosiding hari ini yang menyebabkan hakim menegurnya dan mengingatkan beliau agar mengambil perkara tersebut dengan serius.
Ini adalah hari pertama kes itu didengar di hadapan hakim berkenaan.
Pemohon mendakwa inkues berkenaan telah dijalankan mengikut Kanun Tatacara Jenayah, yang menurut beliau adalah tidak terpakai bagi inkues di Sabah kerana negeri itu mempunyai undang-undang khusus bagi prosiding sedemikian iaitu Ordinan Inkues 1959.
Beliau mendakwa kegagalan menggunakan ordinan berkenaan merupakan satu kekhilafan dalam bidang kuasa, tindakan menyalahi undang-undang dan ketidakpatuhan prosedur sekali gus menyebabkan prosiding inkues itu tidak sah, terbatal, tidak mempunyai kesan undang-undang serta boleh dibatalkan.
-- BERNAMA