POLITIK

Kerjasama BN-GRS Dalam Pembentukan Kerajaan Negeri Demi Kestabilan Politik Sabah - Ahmad Zahid

03/12/2025 06:20 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam pembentukan kerajaan negeri yang baharu adalah atas semangat untuk mewujudkan kestabilan politik demi pembangunan dan kemakmuran berterusan untuk rakyat negeri berkenaan. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pembentukan kerajaan negeri itu yang turut disertai lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas dan parti lain adalah hakikat politik perlu diterima semua pihak bahawa situasi sudah berubah dan perlu dilakukan pascapilihan raya negeri.

"Pelantikan Kabinet (Sabah) adalah hak Ketua Menteri (Datuk Seri Hajiji Noor) sepenuhnya dengan persetujuan Yang Dipertua Negeri Sabah (Tun Musa Aman), dan kita tahu bahawa GRS sendiri tidak cukup untuk membentuk kerajaan negeri. Ketika ini mereka cuma ada 29 kerusi dan BN mempunyai enam kerusi.

"Biarpun BN tidak bersama-sama dengan GRS bagi menghadapi pilihan raya tetapi hakikatnya, pascapilihan raya, suasana dan situasi politik berubah. 

"Mereka harus mengetahui jika di Putrajaya, kita mempunyai Kerajaan Perpaduan, maka atas semangat untuk mewujudkan kestabilan politik, maka BN bersama-sama dengan GRS telah mempersetujui memulakan pembentukan kerajaan perpaduan, termasuk lima daripada Bebas, yang asalnya daripada GRS dan parti-parti lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Cyberjaya Conversations Summit 2025 di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga pengerusi BN berkata demikian menjawab pertanyaan pemberita berkaitan 12 ADUN GRS yang tidak berpuas hati terhadap keputusan membenarkan BN Sabah menyertai kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17, Sabtu lepas. 

Beliau turut mengingatkan agar semua pihak tidak bersikap angkuh atau jumud dalam menilai keputusan politik sebaliknya memahami keperluan kerjasama itu yang dilakukan demi kestabilan pentadbiran negeri. 

"Pelantikan telah dibuat. Ini hakikat politik. Jangan ada perasaan keangkuhan yang tinggi kerana hakikat politik itu sangat pragmatik dan mesti diterima sebagai satu hakikat untuk menghadapi dan menjana supaya kestabilan politik menjadi keutamaan bagi mensejahterakan rakyat Sabah,” katanya. 

PRN Sabah ke-17 menyaksikan GRS memperoleh 29 daripada 73 kerusi DUN dipertandingkan, Parti Warisan (25), BN (enam), Bebas (lima), UPKO (tiga), STAR (dua) manakala Perikatan Nasional, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing satu kerusi.

Pada awal pagi Ahad lepas, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengangkat sumpah jawatan sebagai Ketua Menteri ke-17. Pada Isnin, 10 ADUN mengangkat sumpah sebagai anggota Kabinet negeri di hadapan Tun Musa di Istana Seri Kinabalu.

Komposisi Kabinet Sabah terdiri daripada tujuh ADUN GRS serta masing-masing satu daripada Pertubuhan Progresif Kinabalu Bersatu (UPKO), PH dan BN. 

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498523