KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Midea Malaysia hari ini mencatat satu pencapaian penting menerusi pelancaran serentak 18 kedai jenama Midea di seluruh negara, yang menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records (MBOR) bagi kategori “Pelancaran Cawangan Peralatan Elektrik Terbanyak dalam Satu Acara”.
Peluasan rangkaian di seluruh negara itu merangkumi 15 kedai baharu, dua Midea Pro-Shop serta satu bilik pameran di sini, yang menampilkan papan tanda baharu sekali gus mengubah kehadiran fizikal runcit Midea menerusi satu pelaksanaan bersepadu.
Pengarah Urusan Midea Malaysia Mark Tam dalam ucapannya berkata pelancaran itu ialah satu langkah signifikan untuk meningkatkan akses pelanggan dan mengukuhkan jenama ini dalam pasaran perkakas rumah yang sedang berkembang pesat di Malaysia.
“Pelancaran serentak 18 kedai berkenaan bukan sekadar peluasan, ia juga mengubah cara pelanggan berinteraksi dengan Midea.
“Rakyat kini boleh menikmati penyelesaian rumah pintar kami, mendapatkan khidmat nasihat secara langsung daripada pakar, serta khidmat sokongan selepas jualan yang lebih baik,” katanya.
Pelancaran serentak itu juga mengukuhkan lagi kepercayaan dan mempermudah pelanggan di samping menempatkan Midea pada kedudukan lebih kompetitif sebagai rakan rumah pintar pilihan di Malaysia.
Midea turut memperkenalkan siri SMART MASTER yang baharu, mencerminkan komitmen syarikat untuk mengetengahkan teknologi berteraskan kecerdasan buatan (AI) dan berfokuskan pengguna menerusi ekosistem yang bersepadu dan bersambung.
Perasmian serentak di semua 18 lokasi itu, menampilkan pengiraan detik yang diselaraskan pada peringkat kebangsaan, menyaksikan semua kedai melancarkan papan tanda premis masing-masing pada masa yang sama.
Acara berkenaan disiarkan secara langsung di seluruh negara, termasuk menerusi laman Facebook Midea Malaysia.
SMART MASTER mewakili inovasi terkini Midea yang menampilkan kecerdasan dipacu AI, sensor pintar dan keterhubungan Internet benda (IoT), yang direka untuk menjangka, menyesuaikan dan bertindak balas terhadap keperluan pengguna, menawarkan pengalaman rumah pintar yang lebih lancar dan mudah.
Midea turut mempamerkan rangkaian inovasi terbaharunya, termasuk siri Avigator, siri Insta-Fit Master, Laundry Suite, L-Shaped Cooker Hood MCH-90XS38 (RFID), Built-In Gas Hob MGH-2590GL (RFID), Pembersih Vakum Robotik V12 serta Kipas Tanpa Bilah.
Langkah peluasan itu meningkatkan kehadiran runcit Midea di pasaran selain meluaskan akses pengguna kepada penyelesaian rumah pintar yang lebih cekap tenaga dan bersepadu.
Menjelang 2026, jenama itu menyasarkan pertumbuhan kira-kira 20 peratus, disokong oleh peluasan berterusan rangkaian runcitnya, pemerkasaan perkongsian dengan pengedar serta penambahbaikan perkhidmatan selepas jualan.
Pelan hala tuju produk yang menyeluruh bagi 2026 juga akan menyokong strategi berteraskan inovasi Midea.
Bersempena dengan pelancaran itu, Midea memperkenalkan beberapa promosi eksklusif sepanjang Disember yang menawarkan pelbagai ganjaran menarik.
Promosi itu termasuk percuma dengan pembelian (1 hingga 31 Dis), kempen Spin & Win (3 hingga 10 Dis) bagi pembelian bernilai RM288 dan ke atas, serta peraduan Spend & Win (3 hingga 31 Dis) bagi perbelanjaan RM488 dan ke atas.
-- BERNAMA