KANGAR, 3 Dis (Bernama) -- Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (KPPM) Dr Mohd Azam Ahmad meluangkan masa menyantuni warga pendidikan yang terjejas banjir di Perlis dan Kedah dan turut menghargai semangat waja barisan hadapan pendidikan yang cekal menghadapi bencana itu.
Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan memaklumkan lawatan Mohd Azam bukan sekadar tinjauan tetapi mencerminkan kepimpinan yang memahami serta menyokong warga pendidik dan institusi pendidikan.
“Dari SMK (Sekolah Menengah Kebangsaan) Derma yang sibuk menguruskan bank soalan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) hinggalah ke SK (Sekolah Kebangsaan) Putra dan SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) Kangar, KPPM bertemu muka dengan guru-guru dan murid-murid.
“Beliau memuji semangat waja barisan hadapan pendidikan yang cekal melakukan pembersihan dan meneruskan pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian buat sementara waktu sehingga situasi pulih sepenuhnya,” menurut Pejabat Ketua Pengarah Pendidikan dalam kenyataan.
Mohd Azam turut menyampaikan pesanan penting tentang kesiapsiagaan dan hala tuju Kurikulum 2027.
Beliau menyalurkan sumbangan daripada Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) kepada tujuh sekolah terkesan banjir untuk digunakan bagi pemulihan dan pembersihan.
Menurut kenyataan itu, Mohd Azam turut berinteraksi dan memberi motivasi kepada calon SPM dari SMK Syed Putra yang ditempatkan di Sekolah Berasrama Penuh Integrasi (SBPI) Kubang Pasu, Bukit Kayu Hitam, Kedah.
“Kehadiran beliau bersama Pengarah Pendidikan kedua-dua negeri memberikan suntikan semangat buat warga pendidik dan calon SPM.
“Turut diraikan dalam sesi lawatan ini ialah sukarelawan Ihsan MADANI IPG (Institut Pendidikan Guru) Perlis, sukarelawan JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) Perlis dan pasukan sukarelawan dari Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) yang turut sama membantu sekolah terkesan banjir melaksanakan proses pembersihan,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA