KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan agar Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) memperkukuhkan rangka kerja pengurusan risiko dengan melaksanakan analisis senario yang lebih mendalam terhadap kejutan pasaran bukan kewangan seperti perubahan teknologi dan geopolitik.
Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata Khazanah harus memperkukuhkan analisis ujian tekanan sedia ada dengan mengambil kira kejutan pasaran bukan kewangan seperti perubahan teknologi disruptif dan geopolitik sejak 2018.
“Ianya bagi memastikan ia dapat bertindak proaktif dalam menyusun semula atau melupuskan pelaburan secara pantas apabila asas pelaburan berubah drastik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata walaupun Khazanah telah menyatakan komitmen untuk meningkatkan proses itu secara berterusan, PAC mengingatkan Khazanah untuk kekal berwaspada dan sentiasa memastikan kesiapsiagaan dalaman bagi menghadapi sebarang perubahan drastik pada asas pelaburan.
“Selain itu, PAC mengambil maklum tindakan Khazanah dalam pelaporannya kepada Kementerian Kewangan (MOF) tidak lagi terhad kepada prestasi kewangan semata-mata, tetapi prestasi strategik pelaburan secara menyeluruh termasuk perkembangan utama serta inisiatif yang sedang dan telah dilaksanakan, selaras dengan mandat dan peranan Khazanah, serta ulasan serta kemas kini khusus berhubung prestasi syarikat-syarikat pelaburan Khazanah
“Berhubung perkara ini, PAC menyarankan supaya MOF menyelaraskan keperluan pelaporan bersama pihak Khazanah bagi mendapat gambaran yang lebih mendalam, bukan sahaja berhubung pelaburan domestik Khazanah, malahan unjuran terhadap ekonomi serta industri dan sektor yang berkaitan," tambahnya.
-- BERNAMA