DUNIA

Lula Jangka Lebih Banyak Pengurangan Tarif Selepas Perbincangan Dengan Trump

04/12/2025 12:35 PM

BRASILIA, 4 Dis (Bernama-Xinhua) -- Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva pada Rabu berkata beliau menjangkakan lebih banyak pengurangan tarif terhadap barangan Brazil susulan perbualan telefon beliau dengan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Selasa, lapor Xinhua.

Dalam satu temu bual, Lula berkata Brazil mungkin menerima berita baik berkaitan perdagangan tidak lama lagi.

Sambil menggesa tarif sedia ada terhadap eksport Brazil dimansuhkan, beliau menyifatkan keputusan Washington baru-baru ini untuk menghapuskan tarif tambahan 40 peratus ke atas produk seperti daging, kopi dan buah-buahan sebagai langkah yang “sangat positif”.

Beberapa minggu lalu, AS turut menarik balik tarif tambahan terhadap lebih 200 produk Brazil selepas pertemuan antara Menteri Luar Brazil, Mauro Vieira dan Setiausaha Negara AS Marco Rubio.

Kerajaan AS sebelum ini mempertahankan “kenaikan tarif” terbabit sebagai tekanan agar Brazil melaksanakan beberapa langkah yang dikehendaki pentadbiran Trump.

Pakej tarif itu mula dikuatkuasakan pada Ogos lalu ketika hubungan dua hala yang tegang, serta turut diburukkan oleh sekatan terhadap beberapa pegawai Brazil — isu yang masih belum diselesaikan.

Lula dan Trump pernah bertemu secara ringkas pada September lalu semasa Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498741