SEREMBAN, 4 Dis (Bernama) -- Eco Business Park VII (EBP7), hab perindustrian bersepadu generasi seterusnya di Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0), menganjurkan acara ‘EcoWorld Connects: Business Ascend Forum’ yang menghimpunkan kalangan pakar industri serta rakan perniagaan.
Forum itu turut menjadi platform bagi perbincangan mengenai peluang di ASEAN, transformasi industri, dan kebangkitan ekonomi yang dipacu oleh kecerdasan buatan (AI).
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Liew Tian Xiong berkata forum itu juga berperanan sebagai pertemuan eksklusif serta bermakna untuk kalangan pembeli dan bakal pembeli EBP7.
Pada masa sama, katanya, EcoWorld Connects juga dirangka dengan matlamat untuk menyatukan individu, idea serta peluang di sebuah wilayah pesat berkembang seperti ASEAN dan perniagaan memerlukan lebih daripada ruang fizikal semata-mata.
“Ini memerlukan ekosistem yang menyokong aspek inovasi, kerjasama dan pertumbuhan jangka panjang. Oleh itu, pembangunan EBP7 menepati visi ini -- sebuah hab generasi baharu yang direka untuk perniagaan berinovasi, berkembang dan seterusnya berjaya,” katanya ketika berucap pada acara EcoWorld Connect: Business Ascend Forum baru-baru ini.
Forum separuh hari itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, Teo Kok Seong.
Liew berkata forum itu mengetengahkan dua sesi perbincangan berimpak tinggi yang dikendalikan oleh perantara terkenal Owen Yap, menampilkan barisan penceramah mewakili sektor perdagangan dan industri yang berkongsi pandangan mengenai landskap ekonomi ASEAN yang berkembang, strategi perniagaan berasaskan AI serta masa depan pembuatan dan logistik di rantau ini.
Menurutnya, forum itu diakhiri dengan sesi jaringan yang menyaksikan pelabur dan hadirin meninjau Galeri Jualan EBP7 yang baru dibuka selain berinteraksi dengan pasukan industri EcoWorld mengenai tawaran pembangunan serta peluang dalam MVV 2.0.
Liew berkata dalam usaha mengukuhkan momentum berkaitan EBP7, acara berkenaan turut melakar dua perkara bermakna -- pemeteraian perjanjian jual dan beli (SPA) dengan pembeli awal, Techbond Group Bhd dan I Jaya Management Sdn Bhd.
“Komitmen Tech Bond dan I Jaya ini menghantar mesej jelas iaitu keyakinan terhadap potensi jangka panjang EBP7. Kehadiran syarikat-syarikat ini juga mewujudkan asas bagi sebuah ekosistem industri yang lengkap dan disokong dengan baik yang merangkumi pengeluar serta penginapan pekerja, inkubator perniagaan dan sebuah daerah perniagaan seluas 30 ekar,” katanya.
Tech Bond Group akan membuka sebuah kilang pembuatan berteknologi tinggi yang menumpukan pelekat dan penebat industri manakala I Jaya Management pula akan membangunkan penginapan pekerja bersijil GreenRE bagi menyokong pelbagai industri dalam MVV 2.0.
Acara berkenaan turut menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dengan Tian Tian Chu Hai (China) -- kerjasama strategik mempromosikan taman perindustrian ini kepada pelabur dan perusahaan di China dengan matlamat bagi meningkatkan minat pelabur antarabangsa serta hubungan global bagi MVV 2.0.
“Pencapaian ini hanya memaparkan momentum kukuh di sekitar EBP7. Kami teruja dengan keyakinan yang dipaparkan oleh rakan niaga dan pembeli serta berharap dapat menyaksikan komuniti perniagaan yang dinamik di sini,” katanya.
Dalam pada itu, Teo menyifatkan forum berkenaan sebagai platform penting bagi memupuk aspek kerjasama serta mengukuhkan ekosistem perindustrian Negeri Sembilan.
EBP7 juga, katanya, menjadi bukti kukuh perkongsian awam–swasta yang dapat memacu pertumbuhan industri dan atas alasan itu, kerajaan negeri mengalu-alukan pembangunan yang berupaya menarik pelaburan, mewujudkan pekerjaan serta meningkatkan daya saing.
Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan strategik MVV 2.0 yang juga koridor seluas 14,568-hektar terletak berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Putrajaya, Cyberjaya dan Pelabuhan Klang.
"Menerusi infrastruktur serta aspek kemudahan hubungan yang mantap, MVV 2.0 sedia untuk muncul sebagai hab logistik dan industri bernilai tinggi yang utama, direka bagi memperluas potensi ekonomi Greater Kuala Lumpur.
“Ia juga dapat menjadi tumpuan bagi tujuh industri berimpak tinggi, termasuk aeroangkasa, semikonduktor, kenderaan elektrik dan logistik,” kata Teo.
-- BERNAMA