JENAYAH & MAHKAMAH

Rakam Wanita Dalam Tandas, Penganggur Didenda RM4,000

04/12/2025 04:09 PM

KUALA TERENGGANU, 4 Dis (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini, menjatuhkan hukuman denda RM4,000 ke atas seorang penganggur yang merakam wanita di dalam tandas sebuah pusat beli-belah di sini, bulan lepas.

Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak menjatuhkan hukuman itu selepas Muhammad Syahmi Mat Ros, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan dan memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda.

Lelaki itu didakwa mengaibkan kehormatan seorang wanita berusia 29 tahun dengan merakam menggunakan telefon di dalam tandas di tingkat satu Mayang Mall di sini pada 6.12 petang 20 Nov.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-keduanya, jika sabit kesalahan.

Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal namun peguam Nurul Husna Zukepeli @ Zulkifli daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) merayu denda minimum untuk anak guamnya. 

Nurul Husna berkata lelaki itu tidak bekerja dan bergantung kepada ibunya selain mempunyai masalah kesihatan mental serta pernah dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini.

Sebelum ini, video berdurasi 26 saat memaparkan seorang lelaki melarikan diri selepas dipercayai tertangkap merakam seorang wanita secara sembunyi di dalam tandas di sebuah pusat beli-belah tular di media sosial.

-- BERNAMA 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498841