SUKAN

Kelajuan Identiti Ragbi 7s Wanita Negara - Nur Izzah

03/12/2025 07:01 PM

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) wanita kebangsaan menekankan aspek kelajuan bagi menyaingi pemain lawan dalam misi memburu pingat Sukan SEA 2025 di Thailand, bulan ini.

Pemain senior negara Nur Izzah Azizan berkata kelajuan membolehkan Malaysia mengekalkan tempo permainan yang tinggi dan mencabar pasukan seperti Thailand, Singapura dan Filipina.

Beliau berkata persiapan pasukan bermula sejak awal tahun dengan latihan intensif menekankan semangat berpasukan serta ketahanan fizikal bagi memastikan setiap pemain mampu mengoptimumkan kelebihan kelajuan.

“Walaupun kebanyakan pemain kurang dari segi saiz, kami ada kelajuan yang baik berbanding pasukan lain. Itu yang membuatkan Malaysia lebih istimewa," katanya kepada Bernama.

Pada edisi 2019 di Filipina, mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) dalam jurusan Sarjana Penyelenggaraan Fasiliti itu terlibat membantu pasukan meraih pingat gangsa selepas menewaskan Indonesia 19-12 pada perlawanan penentuan tempat ketiga.

Nur Izzah antara dua pemain senior yang mempunyai pengalaman beraksi di pentas Sukan SEA, manakala majoriti pemain adalah muka baharu yang diserap daripada pentas Sukan Malaysia (SUKMA) tahun lepas.

Sementara itu, beliau berkata pasukan mempunyai keyakinan untuk melangkah ke final, mengambil kira kekuatan dan kelebihan dimiliki pasukan tuan rumah selaku juara bertahan.

“Selepas bersama pasukan sejak Januari, kami dapat rasakan sasaran untuk ke final itu cerah, cuma kami kena kekalkan semangat sehingga hari perlawanan,” katanya.

Nur Izzah, atlet kelahiran Kuala Lumpur berusia 26 tahun itu mula terlibat dalam sukan sebagai atlet olahraga bagi acara 100 meter dan pernah bertanding di peringkat negeri.

Namun, anak sulung daripada empat beradik itu tidak menjangka keputusannya menceburi sukan ragbi telah membuka peluang yang lebih luas di peringkat tertinggi.

Menceritakan detik permulaan bermain ragbi, Nur Izzah berkata peluang itu muncul apabila ragbi wanita mula berkembang di Malaysia selepas penganjuran Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

“Saya pergi sesi ujian dan dapat bermain dengan Selangor. Pada tahun yang sama saya dapat bermain dengan skuad kebangsaan.

"Saya bermula dengan olahraga, tetapi ragbi lebih menonjolkan tugas berpasukan dan strategi. Ia membuatkan saya lebih mengenali diri sendiri dan mengasah kemahiran interpersonal," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498552