AM

SPRM, MBAS Rancang Anjur Konvensyen Integriti Membabitkan PBT Di Kedah

04/12/2025 04:42 PM

 

ALOR SETAR, 4 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah bercadang menganjurkan Konvensyen Integriti dan Tadbir Urus Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Negeri Kedah tahun depan.

 

Pengarah SPRM Kedah, Datuk Nazli Rasyid Sulong berkata, ini kerana Kedah telah menubuhkan Unit Integriti membabitkan 12 PBT dan selari dengan keputusan dicapai dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tatatakelola (JTK) Peringkat Nasional Siri 4 Bilangan 1 Tahun 2025 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar pada 29 April 2025.

 

“Konvensyen ini disasarkan sebagai platform untuk mengarusperdanakan kefahaman dasar, mendaftar isu bersama serta meneroka pendekatan yang seirama dalam memperkasakan tadbir urus dan integriti di peringkat PBT,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) diketuai oleh Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Abdul Gafar Yahya di pejabat SPRM Kedah di sini, semalam.

 

Nazli Rasyid berkata, SPRM Kedah menghargai komitmen MBAS dalam memartabatkan integriti dengan mencadangkan beberapa pendekatan pencegahan termasuk penganjuran ceramah dan bengkel antirasuah, taklimat undang-undang rasuah serta pelaksanaan Corruption Risk Management (CRM) bagi memperkukuh intervensi kawalan dalaman. 

 

Beliau berkata, SPRM Kedah juga bersedia memberikan pandangan teknikal dan sokongan sekiranya MBAS memerlukan penambahbaikan terhadap pelaksanaan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS) supaya kekal relevan serta efektif dengan keperluan semasa. 

 

Sementara itu, Abdul Gafar berkata, MBAS menyambut baik cadangan penganjuran konvensyen PBT itu dan bersedia untuk meneliti keperluan, skop serta pelaksanaannya secara bersama.

 

“MBAS juga komited memperkukuh mekanisme pelaporan dalaman, meningkatkan pemahaman mengenai perlindungan pemberi maklumat dan membudayakan integriti sebagai norma kerja yang menggalakkan penjawat awam tampil membuat laporan tanpa rasa bimbang atau prejudis,” katanya.

 

Beliau berkata, kunjungan hormat ini membuka ruang kerjasama yang lebih berfokus dan berimpak tinggi dalam memperkukuh integriti, meningkatkan keupayaan pencegahan rasuah serta memastikan tadbir urus kerajaan tempatan kekal telus dan berakauntabiliti tinggi.

— BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498852