KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) -- Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman kini mengambil alih siasatan berhubung klip video yang tular di media sosial mengandungi tohmahan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan kerana memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Siasatan telah diambil alih oleh USJT dan kami akan membantu bagi memastikan siasatan dijalankan secara komprehensif,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Merentasi Cabaran, Memacu Kesejahteraan Siri 3 bertemakan ‘Unity for Safety’, di sini hari ini.
Pada Khamis lepas, seorang pegawai SPRM membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya berhubung video perbualan antara seorang wanita dan ahli perniagaan, Albert Tei yang mengandungi tohmahan terhadap Azam.
Menurut laporan itu, kandungan video berkenaan didakwa berniat jahat bagi menjejaskan reputasi Ketua Pesuruhjaya SPRM, sedangkan siasatan SPRM dijalankan secara telus tanpa pengaruh mana-mana pihak.
Sementara itu, Fadil berkata kertas siasatan melibatkan seorang Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM yang ditahan kerana penyalahgunaan dadah pada September lepas telah dihantar kepada Pejabat Peguam Negara (AGC).
“Kita telah melengkapkan siasatan selepas menerima laporan patologi daripada Jabatan Kimia dan kertas siasatan kini berada pada peringkat AGC untuk arahan lanjut,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan pegawai berusia lingkungan 30-an itu ditahan polis pada 23 September lepas dan disiasat mengikut Seksyen 12(1) serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 selepas ujian air kencing mendapat dia positif dadah.
-- BERNAMA