EKONOMI

Snowflake Tingkat Kerjasama Dengan AWS, Anthropic, Accenture Pacu Pengembangan AI

04/12/2025 06:40 PM

Daripada Siti Noor Afera Abu

LAS VEGAS, 4 Dis (Bernama) -- Syarikat pengkomputeran awan berpangkalan di Amerika Syarikat, Snowflake, hari ini mengumumkan kerjasama strategik dengan Amazon Web Services (AWS), Anthropic dan Accenture bagi memperluas perkhidmatan serta keupayaan kecerdasan buatannya (AI).

Dalam satu kenyataan, Snowflake berkata ia telah mencapai pencapaian penting dalam kerjasama dengan AWS apabila pertumbuhan transaksinya di AWS Marketplace meningkat dua kali ganda tahun ke tahun, melebihi US$2 bilion (US$1=RM4.11) dalam tempoh setahun.

“Berdasarkan kejayaan ini, Snowflake memanfaatkan AWS Marketplace untuk memperluas capaian dan penyampaian perkhidmatan pelanggan dengan mempercepatkan penerimaan teknologi, memudahkan proses perolehan dan memacu pertumbuhan global,” katanya.

Ketua Pegawai Hasil Snowflake Mike Gannon berkata langkah kedua-dua syarikat memperkukuh kerjasama dalam industri awan ketika ini membantu organisasi memodenkan operasi dengan lebih pantas dan membuka nilai baharu daripada data mereka.

“Pencapaian melepasi paras US$2 bilion di AWS Marketplace dan diiktiraf sebagai rakan global utama mencerminkan sejauh mana inovasi kami selari dengan keperluan pelanggan dalam era AI.

“Integrasi lancar antara platform data dan AI Snowflake yang diurus sepenuhnya dengan perkhidmatan AWS turut mempercepatkan pertumbuhan kami dan memperkasa pelanggan untuk mentransformasikan perniagaan dalam era AI,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sempena acara AWS re:Invent 2025 yang diadakan di sini.

Sementara itu, dalam satu kenyataan berasingan, Snowflake dan Anthropic mengumumkan pengembangan kerjasama strategik bernilai US$200 juta untuk memacu kemampuan AI berasaskan ejen (agentic AI) ke perusahaan global.

Ia berkata fasa seterusnya dalam kerjasama itu adalah dengan memberi tumpuan pembangunan ejen AI canggih di platform Snowflake yang mampu melaksanakan analisis berbilang langkah, didayakan oleh model Claude milik Anthropic yang mempunyai kemahiran penaakulan lanjutan dan keupayaan mengendalikan data sensitif dengan selamat.

“Ini membolehkan pemahaman konteks yang lebih meluas merangkumi data kewangan, operasi dan pelanggan, selain membuat pertimbangan secara terperinci dan menunjukkan proses yang digunakan, bukan sekadar memberikan jawapan.

“Dengan menggabungkan penaakulan Claude bersama data yang ditadbir selia di Snowflake, pelanggan dalam sektor terkawal seperti perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan dan sains hayat boleh beralih daripada projek perintis kepada penggunaan sebenar dengan keyakinan,” katanya.

Sementara itu, Snowflake turut mengumumkan kerjasama dengan Accenture melalui pelancaran Accenture Snowflake Business Group yang bertujuan memacu transformasi perusahaan menggunakan model perniagaan berasaskan kuasa awan, AI dan data, disokong oleh Accenture AI Refinery, Snowflake Intelligence dan Snowflake Cortex AI.

Ketua Pegawai Eksekutif Snowflake Sridhar Ramaswamy berkata kerjasama dengan Accenture telah membantu ratusan organisasi memanfaatkan sepenuhnya teknologi AI dan menjana penemuan baharu yang di luar jangkaan.

Beliau berkata Accenture Snowflake Business Group menggabungkan pengalaman Accenture dalam transformasi perniagaan dengan platform Snowflake yang sedia untuk perusahaan, mudah digunakan, saling berhubung dan dipercayai.

“Kerjasama ini membantu organisasi mencapai potensi penuh AI dan data, mengubah cara data digunakan bagi membina aplikasi generasi baharu berasaskan AI, meningkatkan pembuatan keputusan dan memaksimumkan nilai data untuk inovasi AI,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Sebagai sebahagian daripada kumpulan perniagaan itu, kedua-dua syarikat akan melabur untuk menubuhkan pusat kecemerlangan global, yang menggabungkan pasukan pakar Snowflake dan Accenture dan bekerjasama dengan pelanggan bagi menerapkan teknologi terkini serta membangunkan aset dan penyelesaian baharu.

-- BERNAMA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2498931