AM

Tun Dr Wan Junaidi Lancar Biografi Abang Johari

05/12/2025 08:24 PM

KUCHING, 5 Dis (Bernama) -- Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini melancarkan buku mengenai Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Buku setebal 113 halaman bertajuk “Abang Johari Sarawak’s First Premier: A Political Biography” itu mengisahkan perjalanan politik dan kepimpinan Premier Sarawak, hasil tulisan Profesor Michael Leigh yang diterbitkan oleh Dayak Cultural Publication (DCF).

Dalam ucapannya, Wan Junaidi berkata buku yang mendokumentasikan kehidupan dan kepimpinan Abang Johari itu mencerminkan satu kisah perjalanan yang sarat dengan wawasan, dedikasi dan komitmen tidak berbelah bahagi terhadap kemajuan Sarawak.

“Abang Johari ialah seorang reformis. Sumbangannya bukan sahaja diiktiraf di Sarawak atau Malaysia, malah kepimpinannya turut mendapat pengiktirafan di luar negara.

“Inisiatif beliau untuk memperluas keterhubungan, memperkasakan masyarakat luar bandar dan mempelbagaikan ekonomi membuktikan iltizam untuk membina Sarawak yang berdaya tahan serta moden.

“Kepimpinannya sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat Sarawak, menjangkau setiap pelosok negeri dari Tanjung Datu sehingga Lawas bagi memastikan tiada komuniti yang tercicir,” katanya.

Turut hadir pada pelancaran itu ialah Abang Johari, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang juga Pengerusi DCF, serta penulis buku itu, Profesor Leigh.

Sementara itu, Uggah berkata DCF melaksanakan projek biografi itu kerana kisah perjalanan  kepimpinan Abang Johari dalam pelbagai aspek mencerminkan kisah transformasi moden Sarawak.

“Buku itu juga sebagai lambang penghargaan komuniti Dayak kepada Premier atas sokongan berterusan serta komitmen tidak berbelah bahagi beliau terhadap masyarakat kami,” katanya.

-- BERNAMA


 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499347