AM

KKR Zahir Ucapan Takziah Kepada Keluarga Mangsa Maut Jatuh Gaung

06/12/2025 03:17 PM

KUALA LUMPUR, 6 Dis (Bernama) -- Kementerian Kerja Raya (KKR) memandang serius insiden sebuah kenderaan terjatuh gaung ketika melalui jalan yang telah ditutup akibat tanah runtuh di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah), Kuala Berang semalam, kerana ia melibatkan keselamatan pengguna.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata beliau dan seluruh warga KKR merakamkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kemalangan maut itu.

“Insiden seumpama ini amatlah dikesali, apatah lagi setiap agensi terlibat telah melaksanakan usaha pencegahan dengan penutupan jalan dan meletakkan pelbagai tanda amaran di kawasan berkenaan,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Beliau berkata berdasarkan laporan awal Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Terengganu, kejadian itu melibatkan kenderaan orang awam yang memasuki laluan yang ditutup sepenuhnya kepada semua pengguna akibat runtuhan jalan sebelum ini.

Nanta berkata JKR telah memasang papan tanda amaran dan penghadang konkrit dengan jelas sebagai langkah keselamatan, manakala pemantauan berterusan turut dilaksanakan bersama pihak konsesi. 

“Penutupan laluan ini telah diwartakan di bawah Seksyen 70 Akta Pengangkutan Jalan 1987 merangkumi sebahagian Jalan Persekutuan FT36 dari Seksyen 55.60 hingga Seksyen 139.30.

“KKR mengingatkan orang awam untuk sentiasa mematuhi arahan keselamatan serta tanda penutupan yang dipasang di lokasi bencana bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berulang,” katanya.

Nanta berkata JKR telah mengambil tindakan segera termasuk memasang papan tanda amaran dan sekatan konkrit di kedua-dua arah laluan manakala laporan polis dibuat terhadap pencerobohan laluan tertutup serta pendaftaran maklumat bencana jalan runtuh di portal rasmi.  

Beliau berkata JKR sudah mendapat kelulusan untuk pembinaan jambatan di Laluan FT036, Seksyen 89.00, Jalan Aring 8-Tasik Kenyir-Kuala Jeneris, daerah Hulu Terengganu yang telah diluluskan pada 25 Mac dengan kos projek sebanyak RM36 juta. 

“Status terkini adalah di peringkat perolehan dengan Surat Setuju Terima dijangka diserahkan pada suku keempat, Dis 2025,” katanya. 

Media semalam melaporkan pasangan bakal pengantin maut di lokasi kejadian selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terbabas ke dalam gaung di Kilometer 52 Jalan Kuala Jeneris-Sungai Gawi-Aring (Bukit Kawah). 

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila SUV berkenaan terbabas dan terjatuh ke dalam gaung sedalam lebih 60 meter ketika mangsa yang dari arah Hulu Terengganu menghala ke Gua Musang melalui jalan yang ditutup.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2499508