AM

Pelanjutan Tempoh Remedi: FGV Mulakan Semula Operasi Ladang Di Terengganu

09/12/2025 05:43 PM

KUALA TERENGGANU, 9 Dis (Bernama) -- FGV Holdings Berhad (FGV) memulakan semula operasi ladang hari ini susulan pelanjutan tempoh remedi hingga 7 Jan tahun depan oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

FELDA dan FGV dalam kenyataan bersama memaklumkan operasi kini dapat diteruskan secara normal dan mereka kembali memberi tumpuan kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga peneroka serta pembangunan komuniti di tanah rancangan.

Kenyataan itu menyebut perkembangan tersebut bukan sahaja mengembalikan keyakinan dalam kalangan peneroka dan pekerja malah memastikan ekosistem ekonomi setempat terus stabil.

“Perkembangan ini memberikan kelegaan besar kepada peneroka yang selama beberapa minggu ini berdepan ketidakpastian tentang pendapatan, masa depan keluarga dan kelangsungan hidup mereka.

“Sejak awal, keutamaan kami adalah memastikan kebajikan, keselamatan ekonomi serta ketenteraman emosi peneroka khususnya anak jati Terengganu terus terpelihara,” menurut kenyataan itu.

FELDA dan FGV turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu atas komitmen serta kesediaannya untuk terus mengadakan perbincangan secara profesional.

“Kerjasama ini amat bermakna kerana pada akhirnya, kesejahteraan peneroka yang menjadi tunjang dan nadi FELDA sejak penubuhan adalah kepentingan bersama yang mesti terus dipertahankan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Zulkifli Ali berkata kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempoh remedi berkaitan notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 425 Kanun Tanah Negara hingga 7 Jan 2026 sekali gus menangguhkan notis yang sebelum ini dikeluarkan kepada semua Ahli Lembaga Pengarah FGV.

Ia berikutan perkembangan positif rundingan yang dijalankan antara kerajaan negeri dengan FELDA dan FGV mengenai isu tanah tersebut.

Baru-baru ini,  Terengganu mengeluarkan notis larangan menceroboh tanah yang diusahakan FELDA di 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar selepas mendakwa tanah berkenaan telah diteroka tanpa pembayaran premium, cukai atau perkongsian keuntungan selama lebih 40 tahun.

Penyerahan notis dilakukan serentak kepada pihak pengurusan ladang di Setiu, Besut, Kemaman, Marang, Dungun dan Hulu Terengganu.

-- BERNAMA

 

 

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500533