DUNIA

Pengeluaran Madu Manuka Boleh Mudaratkan Ekosistem New Zealand - Kajian

11/12/2025 11:23 PM

WELLINGTON, 11 Dis (Bernama-Xinhua) -- Satu kajian baharu mencadangkan yang pengeluaran madu manuka komersial di New Zealand mungkin mengganggu komuniti serangga asli dengan memperkenalkan sejumlah besar lebah madu bukan asli, lapor Xinhua.

Penyelidik Institut Sains Bioekonomi New Zealand (BSI) dengan kerjasama amanah Maori dan Jabatan Pemuliharaan, membandingkan aktiviti serangga di enam tapak semak manuka di tengah Pulau Utara - separuh dengan sarang lebah dan separuh tanpa sarang lebah, menurut kenyataan media BSI pada Khamis.

Dengan menganalisis DNA serangga dari bunga dan memerangkap serangga terbang, penyelidik mengenal pasti lebih daripada 36,000 spesimen merangkumi 14 susunan serangga, termasuk 137 spesies berasingan dalam kalangan tiga susunan yang paling biasa,  menurut kenyataan itu.

Pasukan itu mendapati yang tapak yang mempunyai sarang lebah terurus mempunyai lebih sedikit pelawat serangga asli terutamanya rama-rama dan kupu-kupu berbanding tapak tanpa sarang lebah.

Thrips, serangga kecil yang kadang-kadang dikaitkan dengan penyakit tumbuhan bagaimanapun  64 peratus lebih banyak di kawasan berhampiran sarang lebah, menunjukkan lebah madu mungkin menyebarkannya antara tumbuhan, kata penyelidik.

Penemuan itu yang diterbitkan dalam New Zealand Journal of Ecology, menunjukkan yang lebah madu yang diperkenalkan boleh mengubah corak pendebungaan dan berpotensi menjejaskan keseimbangan ekologi kawasan semak asli.

Hasil kajian ini mengetengahkan keperluan untuk penempatan apiari (sarang lebah) yang berhati-hati bagi melindungi biodiversiti sambil mengekalkan faedah ekonomi industri madu manuka New Zealand yang menguntungkan, kata penyelidik.

-- BERNAMA-XINHUA

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501608