AM

Pemandu Maut, Tiga Cedera Ambulans Terbabas Di Kluang

09/12/2025 09:06 PM

KLUANG, 9 Dis (Bernama) -- Seorang pemandu ambulans maut manakala dua jururawat dan seorang pesakit cedera apabila kenderaan itu terbabas di KM59.8 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Renggam Pegawai Bomba Kanan II M Nasir A Shah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.30 tengah hari dan enam anggota berserta sebuah jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Hasil pemantauan (mendapati) pemandu dan penumpang di bahagian hadapan telah tercampak keluar daripada ambulans manakala dua lagi mangsa berada di bahagian belakang namun tidak tersepit.

“Pasukan keluaran operasi (PKO) bomba bertindak mengeluarkan dan mengalihkan mangsa ke kawasan selamat sebelum menyerahkan kepada pihak ambulans untuk rawatan lanjut di hospital,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya mangsa yang meninggal dunia berusia 43 tahun dan kes diserahkan kepada pihak polis sebelum operasi ditamatkan pada 2.24 petang.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

“Semua mangsa telah dihantar ke hospital di Kluang (Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom) dan siasatan serta maklumat lanjut berkaitan kejadian tersebut akan kita maklumkan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang ACP Bahrin Mohd Noh berkata siasatan awal mendapati ambulans jenis Iveco Daily milik Kementerian Kesihatan (KKM) itu dipercayai terbabas sendiri selepas tayar belakang bahagian kiri pecah, menyebabkan pemandunya hilang kawalan.

Beliau berkata pemandu ambulans berkenaan, Nurazrein Zainal, 43, mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom (HEBHK).

“Sementara dua jururawat iaitu Dahlia Atan, 25, dan Siti Rokiah Hassan, 35, mengalami kecederaan di bahagian kaki dan kepala manakala seorang lagi mangsa, V. Amutha, 45, kini berada di hospital sama untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ambulans itu rosak teruk pada bahagian hadapan dan kiri.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500541