KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Kecederaan pada wajah terutama akibat kemalangan jalan raya tidak boleh dipandang ringan kerana boleh memberi implikasi jangka panjang kepada mangsa termasuk ketidaksimetrian wajah, demikian menurut dua pakar dari Pusat Perubatan Sunway (SMC), Bandar Sunway.
Pakar Bedah Plastik dan Pembinaan Semula SMC Dr Nur Shazwani Farah Md Mydin Siddik berkata kecederaan pada muka tidak selalu mengancam nyawa, namun boleh meninggalkan kesan yang serius, bukan sahaja patah tulang atau trauma dalaman tetapi juga kepada emosi.
Kajian menunjukkan kemalangan motosikal adalah punca utama trauma maksilofasial di Malaysia, melibatkan permukaan, rahang dan tisu lembut wajah yang memberi kesan jauh lebih mendalam daripada sekadar isu kosmetik.
Justeru, pesakit sewajarnya tampil lebih awal untuk rawatan dan bukannya mengambil tempoh bertahun-tahun sehingga menyebabkan komplikasi yang serius dan berpotensi mengancam nyawa.
“Ada pesakit yang hanya tampil mendapatkan rawatan lanjutan selepas berbulan atau bertahun-tahun kemudian apabila masalah seperti ketidaksimetrian wajah, kesukaran mengunyah atau parut lama tidak lagi boleh diabaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata bagi kes peringkat lewat kebiasaanya memerlukan beberapa rawatan, daripada pembedahan pembetulan kepada pembaikan parut dan rehabilitasi.
“Misalnya, apabila kecederaan seperti rahang atau bahagian tengah muka retak, prosedur menyusun semula dan merekonstruksi struktur dilakukan untuk memulihkan fungsi dan keseimbangan.
“Trauma wajah boleh meninggalkan parut atau kecacatan yang menjejaskan cara bercakap, makan atau bergaul dengan orang lain… pembedahan estetik bukan hanya mengenai penampilan, sedangkan ia sebenar bagi memulihkan fungsi dan simetri wajah serta kualiti hidup pesakit,” katanya.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kecemasan Dr Aaron Lai Kuo Huo berkata secara umumnya banyak pengguna jalan raya masih menggunakan perlindungan kepala yang tidak memadai, menjadikan bahagian muka lebih terdedah kepada kecederaan.
Beliau berkata misalnya kecederaan melibatkan penunggang motosikal biasanya berpunca daripada hentakan kuat semasa kemalangan terutama jika tidak memakai topi keledar atau pemakaian yang tidak betul
“Selain kesan lebam, trauma wajah berpotensi menyekat saluran pernafasan akibat pendarahan atau bengkak
“Pemakaian topi keledar penuh, menggunakan peralatan keselamatan yang diiktiraf serta mendapatkan rawatan awal sekiranya berlaku kemalangan boleh memberi impak besar kepada keselamatan dan kesihatan anda,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang awam yang berada di tempat kemalangan untuk menggunakan kaedah jaw thrust sekiranya seseorang mengalami kecederaan wajah dan berlaku kesukaran bernafas.
“Pastikan saluran pernafasan terbuka dan hentikan pendarahan dengan menekan perlahan menggunakan kain bersih. Gunakan kaedah ini jika pernafasan sukar terutama dengan kecederaan leher.
“Jangan cuba menolak tulang kembali ke tempat asal atau membuka topi keledar mereka kecuali perlu dan segera dapatkan bantuan perubatan,” katanya.
-- BERNAMA