JENAYAH & MAHKAMAH

Rayuan Penukaran Agama Orang Asli: Mahkamah Persekutuan Minta Hansard Enakmen Islam Negeri Pahang

09/12/2025 08:25 PM

PUTRAJAYA, 9 Dis (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini mengarahkan pihak-pihak dalam rayuan membabitkan penukaran agama seorang wanita Orang Asli kepada Islam agar mengemukakan hansard berkaitan peruntukan di bawah Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Pahang 1991.

Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais berkata rekod Parlimen itu adalah penting bagi membantu mahkamah membuat keputusan berhubung rayuan wanita berusia 32 tahun tersebut.

Terdahulu, Abu Bakar menyoal rasional di sebalik pengenalan Seksyen 103 enakmen berkenaan dan bertanya kepada peguam sama ada hansard itu boleh diperoleh. 

Peguam A.Surendra Ananth, yang mewakili wanita itu, dan Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang Datuk Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi, yang mewakili Kerajaan Negeri Pahang, memaklumkan mahkamah bahawa mereka gagal mengesan hansard berkaitan Seksyen 103 enakmen berkenaan.

Abu Bakar kemudian berkata mahkamah tidak dapat membuat keputusan dalam kes berkepentingan awam itu jika tidak mempunyai dokumen yang berkaitan.

“Adalah tidak adil untuk meminta mahkamah membuat keputusan apabila mahkamah tidak memiliki dokumen berkaitan bagi membantu dalam memutuskan kes ini,” kata Abu Bakar yang bersidang bersama-sama Hakim Besar Malaya Datuk Hashim Hamzah dan Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng.

Seksyen 103 menyatakan bahawa jika seorang kanak-kanakn diperintahkan oleh mahkamah selain Mahkamah Syariah untuk berada di bawah jagaan seorang mualaf, dan mualaf itu memutuskan untuk menukar agamanya kepada Islam, maka kanak-kanak itu dianggap telah memeluk Islam semasa perintah hak jagaan itu diberikan.

Abu Bakar juga mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan hujahan lanjut berkaitan Seksyen 17A Akta Tafsiran 1948 dan 1967.

Rayuan itu, yang sebahagiannya telah didengar pada prosiding hari ini, ditangguhkan untuk memberi masa kepada kedua-dua pihak untuk mendapatkan hansard berkenaan dan mengemukakan hujah tambahan.

Terdahulu, panel tiga hakim itu mendengar hujah Surendra bahawa keputusan majoriti Mahkamah Rayuan adalah terkhilaf dalam mentafsir Seksyen 103 enakmen berkenaan dengan memasukkan kanak-kanak tidak sah taraf  seperti anak guamnya sebagai seorang Muslim.

Peguam itu berhujah di bawah enakmen berkenaan, ibu bapa yang memeluk agama Islam perlu terlebih dahulu mendapatkan perintah jagaan daripada mahkamah sivil sebelum boleh memperoleh hak jagaan penuh bagi kanak-kanak terbabit dan membuat keputusan untuk menukar agamanya.

Bagaimanapun, beliau berkata dalam kes wanita itu, keputusan majoriti Mahkamah Rayuan telah “menulis semula” undang-undang Islam negeri tersebut dengan mengabaikan syarat mendapatkan perintah jagaan daripada mahkamah sivil.

Surendra berhujah bahawa ibu kandung wanita itu tidak pernah memberikan persetujuan untuk anaknya didaftarkan sebagai seorang Muslim, sambil menambah pihak berkuasa agama negeri telah merekodkan status anak guamnya sebagai “memeluk Islam bersama ibu” pada tahun 1998.

Wanita itu telah memfailkan saman terhadap Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Pahang serta kerajaan negeri, menuntut deklarasi bahawa beliau tidak memeluk Islam.

Beliau mendakwa telah ditukar agama oleh ibunya ketika berumur dua tahun dan tidak pernah melafazkan “Kalimah Syahadah”. 

Ibunya telah memeluk Islam pada November 1995 manakala bapanya adalah seorang Muslim dan mereka tidak pernah berkahwin.

Wanita daripada suku kaum Jakun itu, sebelum ini gagal dalam kesnya di peringkat Mahkamah Tinggi pada Februari 2023 dan sekali lagi di Mahkamah Rayuan.

Pada April lepas, Mahkamah Persekutuan telah memberi kebenaran kepada wanita itu untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan dengan mengemukakan enam persoalan undang-undang.

Mahkamah Rayuan menetapkan 22 Jan tahun depan untuk meneruskan pendengaran kes itu.

-- BERNAMA

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500604