KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Sebanyak 312 belia India berjaya menamatkan latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di 16 institusi terkemuka di China termasuk Chongqing Industry Polytechnic University dan Linyi Vocational University of Science and Technology.
Presiden Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran (Belia Mahir) Mohammad Rizan Hassan berkata semua belia berkenaan diraikan dalam Majlis Apresiasi Program Latihan TVET Belia Malaysia-China (MCYTT) anjuran Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) 2024/2025 hari ini.
Beliau berkata program MCYTT-MITRA merupakan bukti dasar kerajaan berjaya diterjemahkan kepada peluang untuk belia terutamanya dalam era teknologi yang mengubah corak hidup, pemikiran dan pekerjaan.
"Peserta MCYTT-MITRA berada dalam kelompok yang bertuah, yang mendapat pendedahan awal dan pengalaman sebenar tentang bagaimana teknologi memacu dunia baharu," katanya ketika berucap pada majlis itu di Yayasan Pusat Belia Antarabangsa (IYC) di sini hari ini.
Majlis berkenaan dianjurkan bersama oleh MITRA, Malaysia-China Institute (MCI), Belia Mahir serta TANG International Education Group (China) dan dirasmikan Timbalan Presiden Majlis Belia Malaysia Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez.
Turut diadakan Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman antara Belia Mahir dan Majlis Belia India Malaysia (MIYC) sebagai titik permulaan kepada pembangunan bakat yang lebih tersusun, meluas dan berimpak kepada belia India Malaysia.
Mohammad Rizan turut menyampaikan penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Majlis TVET Negara atas hala tuju jelas untuk menjadikan Malaysia peneraju TVET serantau melalui pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, berfikiran global dan bersedia menghadapi teknologi baharu.
Beliau berkata Ahmad Zahid telah mencetuskan gelombang penghantaran belia ke China dengan kuota sebanyak 5,125 orang termasuk 500 belia India, malah mengumumkan tambahan 500 kuota baharu untuk program MCYTT-MITRA 2.0 bagi sesi 2025/2026.
“Setiap wajah yang hadir hari ini membawa satu mesej besar, apabila kita bantu belia, kita sedang membantu masa depan negara. Inilah semangat Belia Mahir. Inilah prinsip perjuangan kami. Inilah makna sebenar ‘Bantu Belia Bantu Negara’,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khairul Azman yang juga Ahli Majlis TVET Negara berkata program MCYTT-MITRA adalah bukti jelas dasar di peringkat negara diterjemahkan kepada realiti dan manfaat kepada masyarakat terutama dalam bidang pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) sebagai industri masa depan.
“Ia termasuklah kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, kenderaan elektrik dan teknologi automotif, mekatronik dan automasi industri, semikonduktor dan elektronik, perdagangan digital dan teknologi-teknologi industri kritikal,” katanya sambil menambah bidang itu tunjang kepada pertumbuhan ekonomi negara pada dekad akan datang.
Beliau berkata visi Timbalan Perdana Menteri adalah memastikan TVET menjadi pemacu ekonomi baharu negara, bukannya pilihan kedua atau terpaksa, malah ia adalah arus perdana pembangunan.
Selain itu, Mohamed Khairul Azman berkata program MCYTT-MITRA sejajar dengan komitmen Malaysia terhadap Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya prinsip “tiada siapa akan tercicir” dengan memberi ruang kepada belia India keluar daripada kemiskinan, membina kerjaya dan membawa perubahan kepada keluarga serta masyarakat.
Sementara itu, G. S. Thinesswaran Periasamy, 23, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan dalam Kimia Analisis daripada Universiti Sains Malaysia memilih untuk menyertai program MCYTT-MITRA dalam bidang AI kerana ia meluas dan mempunyai potensi kerjaya yang besar.
“Semasa di universiti saya belajar bidang kimia, tetapi semua perkara termasuk kajian melibatkan AI dan saya rasa ia satu kelebihan jika saya mempunyai kemahiran mengenainya,” katanya yang telah menerima tawaran pekerjaan di sebuah syarikat industri.
-- BERNAMA