EKONOMI

Penghantaran Pesawat Global 2025 Berkurang 5,300, Kekangan Ketara Sektor Penerbangan

09/12/2025 09:53 PM

Oleh Kisho Kumari Sucedaram

GENEVA, 9 Dis (Bernama) -- Kekurangan penghantaran pesawat global pada 2025 kini berjumlah kira-kira-kira 5,300 pesawat, menjadikan ketersediaan pesawat sebagai salah satu kekangan paling utama dalam pertumbuhan industri, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) yang berpangkalan di Geneva. 

Pengarah Operasi Penerbangan dan Teknikalnya, Stuart Fox berkata tunggakan pesanan pula melebihi 17,000 pesawat, iaitu hampir 60 peratus daripada armada aktif. 

“Mengikut sejarah, nisbah ini stabil sekitar 30 hingga 40 peratus, dan tunggakan ini bersamaan dengan hampir 12 tahun kapasiti pengeluaran semasa,” katanya pada sesi taklimat media global di sini hari ini. 

Beliau berkata walaupun penyerahan pesawat baharu mula meningkat pada akhir 2025 dan pengeluaran dijangka mencatatkan kenaikan pada 2026, Fox berkata permintaan dijangka melepasi ketersediaan pesawat dan enjin. 

Katanya, normalisasi ketidakpadanan struktur antara keperluan syarikat penerbangan dan kapasiti pengeluaran tidak mungkin berlaku sebelum 2031 hingga 2034, memandangkan kerugian dalam penghantaran tidak dapat dipulihkan sejak lima tahun lalu, selain tunggakan pesanan tertinggi yang direkodkan. 

“Purata umur armada telah meningkat kepada 15.1 tahun, dengan 12.8 tahun bagi pesawat armada penumpang, 19.6 tahun bagi pesawat kargo dan 14.5 tahun bagi armada badan lebat,” katanya. 

Ketika kesesakan dalam pengeluaran terus berlaku, Fox berkata kelewatan dalam penghantaran turut terjejas akibat beberapa faktor, termasuk pengeluaran kerangka pesawat yang melebihi pengeluaran enjin dan  tempoh lebih panjang bagi pensijilan pesawat baharu.

Katanya, ia menyebabkan kemasukan ke dalam pengeluaran atau perkhidmatan terjejas, sekali gus memberi kesan kepada pembaharuan armada jarak jauh. 

“Selain itu, tarif ke atas logam dan elektronik susulan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat-China telah memburukkan lagi masalah bekalan dan menyebabkan kos penyelenggaraan meningkat.

“Kekurangan tenaga kerja mahir, terutamanya dalam pembuatan enjin dan komponen, turut mengekang rancangan peningkatan pengeluaran,” katanya. 

Pada masa sama, Fox berkata kerapuhan rantaian bekalan aeroangkasa boleh menjadi kekangan yang ketara di tengah-tengah ketidakpastian ekonomi, perubahan rejim tarif dan pasaran buruh yang ketat.

“Oleh itu, ia mengakibatkan sebarang gangguan kecil pun sukar untuk diselesaikan dan menyebabkan kelewatan pengeluaran yang ketara,” tambahnya. 

-- BERNAMA  

 

KEYWORDS
       
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2500664