PASARAN

Bursa Malaysia Meningkat Susulan Kenaikan Di Wall Street, Penurunan Kadar Faedah Fed

11/12/2025 10:39 AM

Oleh Abdul Hamid A Rahman

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) -- Bursa Malaysia dibuka tinggi pada Khamis, didorong oleh keyakinan di pasaran serantau dan peningkatan di Wall Street berikutan penurunan kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS).

Pada 9.10 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 1.17 mata atau 0.07 peratus kepada 1,612.17 selepas dibuka 1.86 mata lebih tinggi kepada 1,612.86.

Sentimen pasaran lebih luas adalah positif, dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 186 berbanding 101 manakala 270 kaunter tidak berubah, 2,201 tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 149.02 juta saham bernilai RM95.52 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Wall Street mengukuh selepas Fed menurunkan kadar penanda arasnya sebanyak 25 mata asas.

"Sentimen turut meningkat selepas Pengerusi Fed Jerome Powell menolak sebarang kenaikan kadar pada masa hadapan dalam keadaan pasaran buruh yang masih lemah.

"Konsensus kini berharap kepada dua hingga tiga lagi penurunan kadar pada 2026 manakala hasil Perbendaharaan 10 tahun AS menyusut kepada 4.155 peratus," katanya kepada Bernama.

Di dalam negara, Thong berkata firma itu menjangkakan petunjuk pasaran FBM KLCI berada dalam julat 1,610-1,620 hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah dua sen kepada RM10.14, CIMB Group meningkat dua sen kepada RM7.84, Tenaga Nasional naik dua sen kepada RM12.76, IHH Healthcare menokok satu sen kepada RM8.41 manakala Public Bank kekal tidak berubah pada RM4.37.

Bagi saham paling aktif, BMS Holdings menambah setengah sen kepada 19.5 sen, Astro Malaysia meningkat setengah sen kepada 10.5 sen, Wasco Greenergy yang baru disenaraikan di Pasaran Utama susut 2.5 sen kepada 97.5 sen, Velesto Energy meningkat setengah sen kepada 27.5 sen dan Hartalega rendah tiga sen kepada RM1.00.

Kaunter paling untung termasuk Malaysian Pacific Industries yang naik 42 sen kepada RM32.60, Petronas Chemicals meningkat tujuh sen kepada RM3.37, Dufu Technology menokok lima sen kepada RM1.66, Vitrox menambah lima sen kepada RM4.32 dan Dialog meningkat empat sen kepada RM1.80.

Antara saham paling rugi menyaksikan Gamuda rendah 14 sen kepada RM4.99, Petronas Gas susut enam sen kepada RM17.20, Mudajaya menyusut 5.5 sen kepada 42 sen, Sarawak Oil Palms rendah empat sen kepada RM3.74 dan Yinson berkurangan empat sen kepada RM2.31.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas meningkat 12.64 mata kepada 11,929.55, Indeks FBM Emas Shariah menambah 15.01 mata kepada 11,803.89, Indeks FBMT 100 naik 12.56 mata kepada 11,713.83, Indeks FBM ACE menokok 12.73 mata kepada 4,743.71 dan Indeks FBM 70 menambah 36.10 mata kepada 16,687.17.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 14.06 mata kepada 18,932.46, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.55 mata kepada 167.54, dan Indeks Tenaga menokok 2.37 mata kepada 759.80 manakala Indeks Perladangan susut 3.52 mata kepada 8,059.31.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2501185